KOTA BELUD: Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tergantung di salah sebuah bangunan plaza di Pekan Kota Belud di sini awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, maklumat kejadian diterima pada jam 5.58 pagi daripada orang awam kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa lelaki yang juga warganegara Filipina berumur 24 tahun ditemukan dalam keadaan tergantung di bahagian tangga blok c bangunan terbabit dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Hospital Kota Belud sebaik pemeriksaan dijalankan di lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan mangsa dipercayai membunuh diri dengan cara menjerut leher.
“Punca kejadian dipercayai mangsa
mengalami masalah peribadi dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.
|