OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam bilik dandang di tingkat tujuh hotel berkenaan.
TAWAU: Sebuah bilik dandang (boiler) di tingkat tujuh sebuah hotel terkenal di daerah ini musnah terbakar, kira-kira jam 6 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.02 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati bilik dandang yang berada di tingkat tujuh hotel berkenaan terbakar dan operasi memadam kebakaran terus dijalankan.
“Pasukan bomba menggunakan satu aliran dari sistem pancur kering dalam operasi memadam bilik dandang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, semua penghuni dan pekerja hotel berkenaan selamat, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.53 pagi.
“Siasatan lanjut akan dijalankan oleh pasukan forensik BBP Tawau bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami pemilik hotel berkenaan,” katanya.
|