CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17285|Reply: 0

[Sabah] Pelancong China catat jumlah tertinggi ketibaan antarabangsa kunjungi Sabah

[Copy link]
Post time 25-9-2024 10:14 AM | Show all posts |Read mode


ULANG TAHUN: Juhar (lima kanan) bersama Hajiji (enam kiri), Huang (tujuh kiri), Norlidah (empat kanan), Juliah (tiga kanan) dan tetamu lain semasa sesi memotong kek ulang tahun.

KOTA KINABALU: China menjadi penyumbang pelancong asing terbesar memasuki Sabah, dengan mencatatkan 262,070 daripada 706,383 ketibaan antarabangsa yang direkodkan dari Januari hingga Julai tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, jumlah besar itu antara lain disebabkan pengecualian visa timbal balik antara Malaysia dan China yang diumumkan pada Disember tahun lalu.

Katanya, jika dilihat jumlah kemasukan pada Januari hingga Julai tahun lalu, ketibaan pelawat China hanya seramai 26,054 daripada 424,052 ketibaan antarabangsa.

“Memandangkan pelancongan adalah pemacu utama ekonomi Sabah, kerajaan negeri terus memperkukuhkan persekitaran perniagaan dan meningkatkan kemudahan pelancongan bagi menarik lebih ramai pelabur dan pelancong ke negeri ini.

“Sabah komitmen untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi yang erat dengan China seiring dengan kemajuan kerjasama ekonomi dan perdagangan di antara Malaysia dan China, dan saya berharap dapat melihat lebih banyak sinergi dalam semua bidang kerjasama di antara Sabah dan China.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu untuk meningkatkan dan meneruskan kerjasama ini,” katanya semasa berucap pada majlis resepsi ulang tahun ke-75 penubuhan Republik Rakyat China di Magellan Sutera, di sini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag dan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Dr Huang Shifang.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sangat mementingkan kerjasama yang saling menguntungkan dengan China dan berharap dapat mengenal pasti peluang serta meneroka bidang kerjasama baharu.

“Kerajaan negeri berasa gembira kerana Sabah kekal menjadi destinasi pilihan pelawat China untuk bersantai dan berniaga.

“Sabah mempunyai banyak peluang untuk pelabur dalam teknologi hijau dan pertanian berteknologi tinggi, serta pembangunan bercampur, kita juga berharap pelabur China dapat meneroka peluang dalam Ekonomi Biru Negeri.

“Begitu juga sektor tenaga menyediakan peluang yang besar dan walaupun minyak serta gas kekal sebagai sumber pendapatan penting untuk Sabah, kami mengalu-alukan pelabur untuk meneroka teknologi solar dan penyimpanan, hidro, geoterma, serta peluang pasaran karbon,” katanya.

Hajiji berkata, pada 31 Mei lalu, Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara kita sentiasa menjadi rakan baik dan menikmati hubungan mesra. China adalah rakan dagang terbesar bagi Malaysia dan Sabah.

“Ini menyumbang kepada banyak kerjasama merentasi pelbagai sektor, membawa manfaat yang nyata kepada kedua-dua negara dan rakyat di kedua-dua pihak.

“Tahun lalu, pemimpin Malaysia dan China mencapai persetujuan penting untuk bersama-sama membina komuniti masa depan bersama Malaysia-China,” katanya.

Beliau berkata, ini menandakan babak baharu dalam hubungan dua hala, menambah dorongan kuat kepada hubungan Malaysia-China dan Sabah-China yang dipertingkatkan.

“Begitu juga lawatan empat hari Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini ke China adalah langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau yakin Malaysia dan China akan terus menikmati hubungan dua hala yang baik selama bertahun-tahun lagi, memandangkan kemajuan ketara yang dicapai dalam kerjasama pelbagai bidang, iaitu perdagangan, pelaburan, pendidikan, budaya, dan pelancongan.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 06:32 AM GMT+8 , Processed in 0.042169 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list