Mohd Razi ketika ditemui media selepas majlis penyampaian pingat untuk acara olahraga pada Para SUKMA XXI 2024 di Stadium Sarawak hari ini.
KUCHING: Semua penolong ketua kontinjen Sarawak perlu memastikan atlet mendapat pingat emas dalam acara masing-masing.
Ketua Kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak Datuk Mohd Razi Sitam berkata, ia bagi memastikan Sarawak kekal mendominasi di tangga teratas ketika ini.
“Kita telah minta semua penolong ketua kontinjen Sarawak supaya terus konsisten memberi semangat kepada atlet bagi memastikan misi merangkul gelaran juara kali ke-14 pada Para SUKMA Ke-21 menjadi kenyataan.
“Ini termasuk memberi perhatian dari segi kesihatan dan emosi atlet untuk terus menunjukkan penampilan lebih baik dalam acara seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat untuk acara olahraga pada Para SUKMA XXI 2024 di Stadium Sarawak di sini, hari ini.
Selain itu, Mohd Razi turut menggesa atlet para Sarawak untuk menggunakan tempoh masa yang ada terutama bagi mereka yang akan berentap dalam acara masing-masing selepas ini.
“Hari ini kita telah mencapai melebihi separuh daripada 83 pingat emas yang disasarkan sebelum ini.
“Justeru saya yakin Sarawak dapat mengekalkan momentum ini dan dapat menyaksikan gelaran juara didakap sepenuhnya,” katanya.
|