BAIKI: Ruslan dan Matbali sedang melakukan pembaikan titian dalam satu program yang diadakan di Kampung Nabahan.
WESTON: Tabung Amanah Lumadan Sejahtera dijangka akan dilancarkan pada Oktober depan, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.
Menurut Ruslan, penubuhan tabung itu bertujuan membantu rakyat dalam aspek bantuan bencana dan juga pendidikan sebagai usaha memenuhi keperluan mendesak masyarakat di kawasan itu.
Mengulas lanjut Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, inisiatif itu dilaksanakan bersama Amanah Raya Berhad yang berperanan sebagai pembimbing kepada tabung itu.
"Tabung Amanah Lumadan Sejahtera ditubuhkan bagi membantu rakyat di kawasan ini yang dilanda bencana seperti kebakaran dan musibah lain termasuk bantuan pendidikan.
"Tabung Amanah Lumadan Sejahtera akan bekerjasama dengan Amanah Raya Berhad dan akan dilancarkan pada Oktober ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Mahkamah Anak Negeri Bersama Komuniti di Kampung Nabahan.
Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Pegawai Daerah Beaufort, Nazri Ajun.
Dalam perkembangan sama, Ruslan memberitahu dana Tabung Amanah Lumadan Sejahtera akan diperolehi daripada sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan orang perseorangan.
"Selain GLC, kita juga akan cuba dapatkan dana daripada Amanah Raya Berhad dan pihak-pihak lainnya seperti syarikat swasta sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka.
"Individu seperti usahawan-usahawan berjaya juga boleh menyumbang ke tabung ini kerana ia membantu dalam pengurangan bayaran cukai perniagaan mereka," katanya.
|