SAR: Pasukan bomba menjalankan operasi SAR di lokasi kejadian.
KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas mandi bersama sekumpulan rakannya di sebuah tasik di Tebobon di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, seorang daripada rakan mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh rakan lain dalam kejadian jam 12.40 tengah hari.
Katanya, sepasukan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 12.44 tengah hari.
“Kejadian membabitkan dua orang mangsa lemas di dalam tasik semasa menjalankan aktiviti mandi manda bersama 20 lagi rakan iaitu pelajar di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di sini.
“Mangsa pertama berjaya diselamatkan dan diberikan bantuan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR) oleh rakan mangsa sehingga sedar,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kedua masih belum dijumpai dan pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tepi dan permukaan tasik.
“Mangsa berumur 14 tahun itu berjaya ditemukan pada jam 2.48 petang di lokasi kejadian pada kedalaman 10 kaki.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. Beliau berkata, operasi keseluruhan ditamatkan jam 3.12 petang.
|