CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 16263|Reply: 0

[Sarawak] Remaja hamil harus teruskan pendidikan selepas bersalin: Pesuruhjaya SUHAKAM Sarawak

[Copy link]
Post time 28-9-2024 12:09 PM | Show all posts |Read mode


Chew (duduk hadapan, tengah) dan pengarah Lawyer Kamek Simon Siah (duduk hadapan, kanan) merakamkan kenangan bersama ahli panel forum dan tetamu jemputan pada majlis tersebut.

KUCHING: Remaja hamil harus meneruskan pendidikan selepas melahirkan anak dan tidak semestinya berkahwin dengan teman lelaki atau individu yang bertanggungjawab ke atas kehamilan mereka.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Sarawak Dr Chew Chee Ming menekankan perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak kekal sebagai isu mendesak di Sarawak, selain terdapat isu lain seperti kanak-kanak tanpa kerakyatan dan keganasan terhadap kanak-kanak.

Pada 2022, Sarawak dilaporkan antara negeri yang mempunyai perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak tertinggi di negara ini.

Chew berkata, ia merupakan isu kompleks yang berakar umbi dalam norma budaya, undang-undang perkahwinan dan adat tempatan.

"Dengan pemahaman kita yang berkembang tentang isu ini dan dari segi hak asasi manusia, perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak di dunia hari ini tidak diterima secara meluas oleh masyarakat antarabangsa dan juga oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

"Malangnya, ramai remaja yang hamil terpaksa berkahwin walaupun mereka tidak bersedia dari segi fizikal, mental atau emosi. Keadaan ini sering membawa kepada mereka meninggalkan sekolah dan memikul beban keibuan pada usia muda.

"Ibu bapa dan masyarakat mesti membangkitkan harapan kepada remaja hamil dengan meyakinkan bahawa mereka boleh dan harus meneruskan pendidikan selepas bersalin.

"Adalah penting untuk menyedari bahawa remaja ini tidak diwajibkan untuk berkahwin dengan teman lelaki mereka atau individu yang menyebabkan kehamilan mereka," kata Chew dalam ucapan perasmiannya pada Forum Hak Kanak-Kanak di Malaysia: How Did We Fare, Challenges and Way Forward yang diadakan di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chew berkata perkahwinan awal selalunya menyebabkan golongan muda tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Malah, ramai yang tidak mempunyai pekerjaan stabil dan ini meningkatkan risiko keganasan terhadap kedua-dua pihak iaitu remaja serta anak-anak mereka.

Justeru menurutnya, adalah penting bagi semua kanak-kanak dan remaja, terutamanya mereka yang berumur lebih 18 tahun, untuk mengutamakan pendidikan tanpa bebanan tanggungjawab dewasa atau cabaran kehamilan awal.

"Sepanjang tahun-tahun pembentukan ini, golongan muda harus menumpukan pada pembelajaran, pembangunan peribadi dan mengejar minat mereka.

"Pendedahan awal kepada kewajipan orang dewasa boleh membantutkan pertumbuhan akademik dan kesejahteraan emosi yang akhirnya mengehadkan peluang masa depan mereka. Bersama-sama kita boleh menyokong golongan muda ini dalam membina masa depan yang lebih cerah," kata Chew.

Selain itu, Chew berkata kanak-kanak, terutamanya perempuan, walaupun mereka kelihatan matang secara fizikal, tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab orang dewasa.

"Mereka berhak menikmati zaman kanak-kanak dan remaja mereka tanpa tekanan kehidupan dewasa.

"Syukur kerana amalan perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak kian menyusut susulan peningkatan taraf sosioekonomi warganegara Malaysia.

"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan antarabangsa dan nasional seperti UNICEF ​​dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menimba pengalaman masing-masing bagi menangani isu perkahwinan dalam kanak-kanak ini," tambahnya.

Forum tersebut yang diadakan sempena ulang tahun ke-25 SUHAKAM dianjurkan oleh Lawyer Kamek, sebuah pertubuhan bukan untung berpangkalan di Sarawak dengan kerjasama SUHAKAM.

Ia bertujuan untuk mengetengahkan isu kritikal dan memupuk dialog bermakna mengenai perlindungan dan kemajuan hak kanak-kanak di Malaysia, dengan tumpuan khusus kepada Sarawak.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 09:27 PM GMT+8 , Processed in 0.095346 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list