Tangkap layar video menunjukkan api marak memusnahkan Rumah Niga di Nyiro, Tinjar dalam kebakaran pagi Jumaat.
MIRI: Seramai 330 penghuni hilang tempat berteduh selepas 46 pintu Rumah Niga, Sungai Tinjar dekat sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran tengah hari Jumaat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kejadian terbabit kira-kira jam 12.17 tengah hari.
“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng diketuai Pegawai Bomba Kanan II Gajau Jemat bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya kira-kira 122 kilometer dari balai.
Tangkap layar video menunjukkan api marak memusnahkan Rumah Niga di Nyiro, Tinjar dalam kebakaran pagi Jumaat.
“Setibanya di lokasi kira-kira jam 3.40 petang, didapati kebakaran melibatkan satu blok rumah panjang 46 pintu jenis tidak kekal yang telah terbakar 100 peratus dan menjejaskan 330 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.
PGO memaklumkan, seorang mangsa wanita turut cedera ringan dalam kejadian terbabit.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) masih membuat kerja-kerja 'overhaul' di lokasi.
“Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” ujarnya.
|