Pasukan SAR mengangkat mayat mangsa yang ditemui kira-kira satu kilometer dari pos kawalan bomba dibawa untuk diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut. -Gambar JBPM Sarawak
KUCHING: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di Kampung Slabi Empurung, Serian ditemui meninggal dunia kira-kira jam 2.10 petang semalam.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali Jambung Ajui, 83, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 1 kilometer dari pos kawalan bomba.
"Operasi mencari dan menyelamat disambung semula pada 1.40 petang berhampiran sungai Kampung Slabi Empurung, melibatkan unit K9, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan penduduk kampung.
"Mayat mangsa ditemui pada jam 2.10 petang, kira-kira satu kilometer dari pos kawalan bomba dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Mangsa telah dilaporkan hilang oleh anaknya pada 22 September lalu di Balai Polis Serian selepas tidak pulang ke rumah setelah keluar rumah kira-kira jam 5.30 petang sehari sebelum laporan dibuat.
|