Iskandar Puteri: Tiga unit kilang termasuk satu dipercayai menyimpan bahan kimia di Kawasan Perindustrian SILC di sini, terbakar, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd Faiz Suleiman berkata, kebakaran itu turut menyebabkan berlaku letupan.
"Terdapat tiga unit kilang yang terbakar. Salah satunya ada penyimpanan bahan kimia termasuk 'thinner'.
"Memang ada letupan berlaku, tetapi tiada kecederaan kepada anggota kita," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Mohamad Anuar Mohamad Amdzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 11.33 pagi.
Menurutnya, operasi pemadaman turut mendapat bantuan dari BBP Larkin, BBP Skudai, BBP Pekan Nenas, BBP Pontian Baru dan BBP Sebana Cove membabitkan 39 anggota bomba.
"Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan dan operasi pemadaman masih lagi dijalankan," katanya.
Terdahulu, tular insiden kebakaran itu yang didakwa menyebabkan letupan dan mengakibatkan berlaku pencemaran bau toksik.
Turut tular, makluman terdapat sekolah yang ditutup disebabkan gas toksik susulan kebakaran itu.