TUARAN: Sebagai pemimpin yang paling dekat dengan masyarakat, ketua kampung dan ketua masyarakat Cina perlu menjadi mata dan telinga kerajaan untuk mengetahui apa sahaja masalah rakyat sama ada dalam aspek ekonomi dan sosial di kawasan masing-masing. Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, sememangnya tugas ketua kampung dan ketua masyarakat Cina tidak semudah yang disangka, ditambah dengan harapan yang tinggi oleh penduduk kampung. "Justeru, dengan adanya pelantikan Wakil Ketua Anak Negeri dan ketua kampung di daerah kecil Tamparuli ini, tanggungjawab anda semua adalah besar dan diamanahkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan selain menjaga imej Mahkamah Anak Negeri," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Adat Kawasan DUN Tamparuli, di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Kecil Tamparuli di sini. Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli Hannevy W Harry, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli Madin Anak, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Jilias Lintar, Ketua Daerah Tamparuli Jular Harung, Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Kecil Tamparuli Jefferson Jonathan dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tamparuli Gustin Gagah. Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli berkata, kerajaan sudah melantik ketua-ketua adat seperti Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri untuk menganggotai Mahkamah Anak Negeri bagi mengadili sebarang kesalahan adat seperti perbicaraan kes yang ada kaitan dengan adat resam kaum yang ada di negeri ini. "Saya berharap dengan segala khidmat bakti yang diberikan oleh kerajaan dapat dibalas dengan usaha gigih yang berterusan. "Janganlah segan untuk memberikan idea dan pandangan dalam usaha memaju serta membantu masyarakat di kawasan masing-masing terutamanya di daerah kecil Tamparuli," katanya. Beliau berharap dalam menjalankan tugas dan tanggung jawab mereka, para pemimpin adat yang sudah dilantik sentiasa menjunjung tinggi nilai-nilai kebersamaan, saling menghormati dan menjaga keharmonian dalam masyarakat. Menurutnya, kerjasama untuk menyelesaikan permasalahan yang ada serta memperkuat posisi dan peranan adat dalam pembangunan daerah amat perlu, selain menjadi teladan yang baik bagi masyarakat dan terus berinovasi dalam memajukan adat dan budaya di kawasan masing-masing. Pada majlis itu, seramai sembilan orang Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan 54 orang Ketua Kampung menerima watikah pelantikan.
[backcolor=rgba(0, 0, 0, 0.05)]SANTUNI: Jahid menyantuni para pemimpin adat yang hadir.
[backcolor=rgba(0, 0, 0, 0.05)]
[backcolor=rgba(0, 0, 0, 0.05)]
https://www.utusanborneo.com.my/2024/10/12/pemimpin-adat-diseru-ketahui-masalah-rakyat-di-kawasan-masing-masing
|