USIR: Semua PTI terbabit dihantar pulang menggunakan pengangkutan laut terus ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
TAWAU: Seramai 70 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia dipindahkan melalui Pelabuhan Tawau untuk balik ke negara asal, semalam.
Program Pemindahan Tahanan Pendatang Tanpa Izin itu dijalankan menggunakan pengangkutan laut terus ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai 52 lelaki dan 17 wanita itu.
Selain itu katanya, JIM turut menghantar pulang seorang kanak-kanak 56 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
“Ini adalah program pemindahan siri ke-17 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Feri Francis Express sehingga perlepasan ke negara asal.
“Semua PTI berusia lingkungan satu hingga 60 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan media, semalam.
SH Sitti Saleha berkata, pemindahan kali ini juga hanya membabitkan tahanan warga Indonesia dari Depot Imigresen Tawau.
“Kekerapan pemindahan ini adalah tertakluk kepada kerjasama pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI), Tawau untuk mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan sebelum boleh dihantar pulang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa komited bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan dan proses pemindahan tahanan daripada depot-depot ke negara asal dilaksanakan dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin selaras slogan Jabatan,”katanya.
|