Tiang (dua kiri) ketika menyempurnakan majlis pelancaran program tersebut hari ini.
SIBU: Keselamatan awam memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berkata, keselamatan awam adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara masyarakat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Keselamatan awam bukan hanya tanggungjawab polis tetapi juga tanggungjawab semua pihak.
"Ia memerlukan kerjasama untuk memastikan persekitaran yang selamat," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program 'Town Hall Discussion 2024': Bicara Jenayah: Kesiapsiagaan Mendepani Isu Jenayah' di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, hari ini.
Tiang turut memuji inisiatif Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang menganjurkan program kesedaran seumpama itu.
Katanya, program seperti itu sangat penting dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai langkah-langkah pencegahan jenayah serta memperkukuhkan kepercayaan antara polis dan orang awam.
Pada program yang sama, Tiang juga menegaskan bahawa jika isu keselamatan tidak diambil serius, keyakinan pelabur dan masyarakat akan tergugat, menyukarkan usaha kerajaan negeri mencapai visi pembangunan Sarawak.
Beliau menggariskan kepentingan strategi pencegahan jenayah berasaskan komuniti sebagai salah satu cara terbaik untuk menurunkan kadar jenayah.
"Walaupun mencapai kadar jenayah sifar mungkin sukar, usaha untuk mengurangkan kadar jenayah serendah mungkin harus menjadi keutamaan," tambahnya.
Justeru, beliau menggesa masyarakat bekerjasama dalam menjaga keselamatan awam dan berharap sesi perbincangan ini akan memberikan manfaat kepada semua yang hadir.
Program ini, yang dihadiri pelbagai wakil masyarakat dan agensi kerajaan yang bertujuan membincangkan langkah-langkah pencegahan jenayah serta memperkukuhkan hubungan antara masyarakat dengan pihak berkuasa tempatan.
Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus, Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid dan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili.
|