LKIM akan giat bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak pastikan semua vesel dari bahagian Kuching mendaratkan ikan di Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Bako
Muhammad Faiz menyampaikan replika cek berjumlah RM380,400 untuk bantuan ESHN kepada nelayan PNK Sri Muara yang diwakili Pengerusinya, Mahmud@Bohary Montot pada Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama PNK Sri Muara di Dewan Masyarakat Kampung Muara Tebas hari ini.
Oleh Marlinda Mardzuki
KUCHING: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan giat bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi memastikan semua vesel dari bahagian Kuching tidak lagi melakukan pendaratan ikan di jeti persendirian.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah itu bertujuan membolehkan vesel-vesel berkenaan memanfaatkan kemudahan Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Bako (PPLTB) yang telah disediakan.
“Ia bukannya bermakna kita (LKIM) mahu menutup operasi jeti persendirian atau swasta di sekitar Kuching ini tetapi aktiviti pendaratan ikan itu perlu dilakukan di PPLTB yang moden dan lengkap dengan kemudahan.
“Tambahan pula, hasrat kita adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri peneraju dalam industri perikanan negara.
“Maka itu, kita memerlukan banyak sokongan daripada vesel-vesel di sekitar Kuching untuk memastikan pendaratan ikan di PPLTB aktif dan selari dengan potensi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sri Muara di Dewan Masyarakat Kampung Muara Tebas di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Muhammad Faiz berkata, beliau percaya usaha sebegini akan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak.
“Kerana jika usaha ini menjadi projek ‘gajah putih’ (gagal) yang akan mendapat kerugian ialah kerajaan termasuk pemain industri perikanan itu sendiri.
“Maka itu, aktiviti pendaratan ikan yang cukup rancak harus dijalankan di Tanjung Bako iaitu di PPLTB ini.
“Malah saya percaya dengan beberapa penambahbaikan kemudahan yang dilakukan, pemilik vesel akan lebih bersedia untuk mendaratkan ikan mereka di Tanjung Bako,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut memuji kerjasama baik yang diberikan oleh pengusaha bot nelayan di Sarawak, yang memahami hasrat kerajaan untuk memperkasakan industri perikanan.
"Sebagai contoh, di Pelabuhan Tanjung Manis, kita telah menyaksikan vesel yang mendaratkan ikan di situ telah menunjukkan peningkatan yang positif dan perkara yang sama berlaku di Tanjung Bako.
“Untuk makluman, terdapat 152 vesel yang berdaftar di sekitar Kuching dan dengan reformasi operasi yang sedang dilakukan, jumlah vesel yang mendaratkan ikan di Tanjung Bako telah meningkat kepada 83 vesel.
“Kita yakin dengan kerjasama kerajaan negeri, semua vesel di sekitar Kuching akan mula mendaratkan ikan mereka di PPLTB, yang akhirnya akan merangsang ekonomi dan memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Untuk rekod, berdasarkan statistik pendaratan ikan untuk tahun 2022 dan 2023 di negara ini, menyaksikan Sarawak berada di tangga keenam dengan jumlah tangkapan ikan sebanyak 83,901 tan metrik.
Terdahulu, majlis itu turut menyaksikan beberapa bentuk bantuan utama telah disalurkan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM461,100 kepada nelayan PNK Sri Muara.
Antara bantuan itu ialah Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM380,400 diserahkan kepada 137 nelayan PNK Sri Muara bagi tahun 2024, Program Bantuan Touch Point Nelayan untuk 100 orang nelayan yang menerima enam utas pukat setiap seorang dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM49,500 dan Program Peningkatan Kapasiti Nelayan B40 di mana dua nelayan menerima bantuan bot dan peralatan menangkap ikan bernilai RM25,000.
Bantuan lain ialah Skim Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan, Tabung Bantuan Pelajaran Anak-Anak Nelayan, Sumbangan Khairat Kematian dan sumbangan beras kepada 100 orang daripada Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PENESA).
|