Pasukan Saracarbon hadir bersama membantu menjayakan program berkenaan. Turut kelihatan ialah Rose (berdiri, tengah) di Marudi.
Jawatankuasa Kumpulan Kerja Pelancongan Daerah Marudi mahu ia dijadikan antara tarikan pelancong
"Justeru, kita menganjurkan program seperti ini kerana mahu melihat sendiri keperluan infrastruktur yang ingin dan dapat dibangunkan di kawasan Air Terjun Tebuing ini."
Rose Edward Tarang
Pegawai Daerah Marudi
Oleh Clare Cinderella
MARUDI: Jawatankuasa Kumpulan Kerja Pelancongan Daerah Marudi mahu melihat Air Terjun Tebuing yang terletak di Sungai Tebuing, Kuala Tutoh dekat sini dijadikan sebagai salah satu tarikan pelancong ke daerah ini.
Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang berkata, ekoran usaha itu maka jawatankuasa tersebut menganjurkan program gotong-royong di kawasan air terjun terbabit untuk melihat sendiri keindahan dan potensi pelancongannya.
"Justeru, kita menganjurkan program seperti ini kerana mahu melihat sendiri keperluan infrastruktur yang ingin dan dapat dibangunkan di kawasan Air Terjun Tebuing ini," katanya.
Program tersebut dianjurkan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Pelancongan Daerah Marudi, turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Tutoh, syarikat Saracarbon dan Universal Pelita Marudi Sdn Bhd.
Turut terlibat dalam program itu adalah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Bahagian Miri, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Marudi, Balai Bomba dan Penyelamat Marudi dan Majlis Daerah Marudi (MDM).
Seramai 150 orang menyertai program gotong-royong dan aktiviti riadah yang diadakan di Air Terjun Tebuing itu pada Ahad lalu.
Selain gotong-royong membersih kawasan sekitar turut diadakan ialah aktiviti riadah, sukaneka dan mandi-manda di kawasan air terjun tersebut.
Dalam ucapannya, Rose memberitahu bahawa program bertujuan mengeratkan jalinan kerjasama antara jabatan, syarikat swasta dan JKKK di kawasan tersebut.
Turut hadir Pegawai Tadbir Daerah Marudi Reagan Edwin, Penghulu Benedict Wak, Penghulu Jimbau dan Penghulu Keir Sulang Ujai.
|