BINTULU: Enam suspek ditahan apabila dipercayai terlibat dalam perbuatan khianat melempar bahan api hingga menyebabkan dua kenderaan milik penghuni sebuah kediaman di sini musnah terbakar dalam insiden yang berlaku tengah malam Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali (gambar) berkata pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menjalankan siasatan bagi mengesan suspek bertanggungjawab sebelum kesemua suspek berjaya ditahan pada jam 4.11 petang Sabtu.
"Dengan tertangkapnya suspek sekali gus berjaya menyelesaikan kes perbuatan khianat ini dalam tempoh kurang daripada 24 jam," jelas Nixon.
Semakan yang dijalankan katanya mendapati suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah.
Kes ini ujarnya akan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Nixon menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang cuba membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan kes itu.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh tampil atau menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Lai Mei Ching di talian 014-8763824 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.
|