Ling (empat kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi Persatuan Wartawan Sibu Kaunselor Yii Souk Ming yang menjayakan penganjuran sambutan tersebut sambil disaksikan Chieng (kanan), Normah (dua kanan), Chua (kiri) serta yang lain di Sibu, hari ini.
SIBU: Kerajaan Sarawak digesa untuk mempergiatkan usaha menarik lebih ramai pelancong dari China ke negeri ini.
Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew berkata, berdasarkan data dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sebanyak 380,000 pelancong dari China melawat Malaysia antara Disember 2023 dan April 2024, selepas pelaksanaan perjalanan tanpa visa diperkenal oleh kerajaan.
Namun, katanya, daripada jumlah tersebut hanya sekitar 5,000 pelancong yang memilih untuk melawat Sarawak, manakala lebih 110,000 pelancong pergi ke Sabah.
"Walaupun terdapat polisi perjalanan tanpa visa, bilangan pelancong China yang melawat Sarawak masih rendah, dengan kurang daripada dua peratus sahaja yang memilih negeri ini sebagai destinasi mereka.
"Ini menunjukkan bahawa industri pelancongan Sarawak memerlukan peningkatan yang ketara untuk bersaing," katanya ditemui pemberita pada Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2024 yang bertemakan "Pertolongan Cemas dan Sukan" di Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu, hari ini.
Sambutan itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng.
Turut hadir ialah Penasihat Kehormat BSMM Cabang Sibu Datuk Lau Ngie Hua, Pengerusi PBSMM Cabang Sibu Penghulu Chua Hiong Kee dan pegerusi pengelola sambutan tersebut Normah Abdulrahman.
Ling turut menggesa Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) untuk mengambil langkah proaktif dalam menarik lebih ramai pelancong, termasuk menawarkan pakej pelancongan yang menarik dengan insentif seperti diskaun hotel.
Beliau juga mencadangkan agar Sarawak merebut peluang untuk menganjurkan acara berskala besar seperti Sukan SEA dan mengembangkan industri konsert negeri ini, menjadikannya sebagai hub hiburan utama di Malaysia.
Namun, beliau menegaskan bahawa semua ini memerlukan perancangan yang teliti dan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur yang mencukupi.
Menurut Ling, kerajaan Sarawak perlu merebut peluang yang ada, terutama dengan peningkatan jumlah pelancong China yang melawat Malaysia.
"Jika peluang ini tidak dimanfaatkan dengan segera, kita mungkin akan kehilangan peluang keemasan ini," tambahnya.
Selain itu, beliau juga menyarankan agar Sarawak memanfaatkan program "Rumah Kedua" untuk menarik lebih ramai pelajar asing, terutamanya dari China.
Dengan syarat kemasukan yang lebih rendah berbanding Semenanjung Malaysia, beliau berkata, Sarawak berpotensi menjadi hab pendidikan antarabangsa, menarik pelajar dari luar negara untuk belajar di sekolah dan universiti di negeri ini.
Ling turut mencadangkan agar kerajaan Sarawak melabur secara aktif dalam sektor pelancongan dan pendidikan sebagai projek ekonomi utama, tanpa menumpukan sepenuhnya kepada industri tenaga hijau dan teknologi tinggi sahaja.
"Sarawak berpotensi untuk menjadi pemain utama dalam industri pelancongan dan pendidikan, dan kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk memanfaatkan potensi ini," tambahnya.
|