|
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat satu lagi kes kematian membabitkan pengamal perubatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, didakwa berpunca akibat dibuli ketika dalam perkhidmatan.
Mendedahkan perkara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata siasatan dalaman bagi kes terbabit dibuat sejurus pihaknya menerima aduan mengenainya.
Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat), beliau juga tidak menolak kemungkinan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi meneliti kes terbabit secara menyeluruh sebelum tindakan lanjut diambil.
"Saya maklum ada pihak mendakwa KKM lewat mengambil tindakan bagi membendung kes buli dalam kalangan pengamal perubatan, tetapi kementerian sebenarnya terus membuat siasatan dalaman sejurus menerima aduan, sama seperti dilakukan pada 2018.
Ini termasuk kes yang tidak diketahui Yang Berhormat di mana ada kes kematian di Hospital Seberang Jaya, dikatakan akibat dibuli dan saya sedang menunggu dapatan daripada siasatan dalaman yang dilakukan," katanya.
Beliau mengulas dakwaan KKM lewat mengambil tindakan untuk membendung gejala buli dalam kalangan doktor, mengakibatkan kejadian sedemikian kerap berulang ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), Dzulkefly berkata hasil siasatan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar perubatan patalogi di Hospital Lahad Datu akan didedahkan kepada umum kelak.
Beliau juga memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak terbabit, jika terbukti ada unsur buli dalam kes berkenaan, biarpun dapatan jawatankuasa bebas mungkin mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kematian pakar itu.
Pada 2018, saya pernah memecat ketua jabatan di hospital kendalian KKM di Lembah Klang selepas didapati membuli doktor lain, biarpun dia ketika itu sudah berpangkat Jusa. Tindakan ini hasil sisastan jawatankuasa bebas berkaitan buli, sebelum ini.
"Justeru, saya lebih gemar mengambil sikap untuk mendedahkan dapatan ini atas prinsip akauntibiliti dan ketelusan dan mustahak untuk ia dilakukan sedemikian supaya semua pihak dapat mengambil iktibar, terutama dalam kalangan Ahli Parlimen.
"Kita (Ahli Parlimen) perlu tahu perkara ini secara terperinci bagi memastikan dasar baharu yang digubal nanti boleh berpandukan maklumat tepat," kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Dzulkefly berkata pasukan petugas khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah ditubuhkan pada 10 Oktober lalu, sejurus siasatan dalaman ke atas kes kematian pakar patalogi Hospital Lahad Datu selesai dilaksanakan KKM.
Katanya, pasukan berkenaan akan menjalankan siasatan terperinci secara bebas dan inklusif, seterusnya menganalisis semua input daripada siasatan dijalankan serta mengenal pasti punca kes kematian dan mengesahkan, sama ada benar wujud perlakuan buli.
Pasukan berkenaan juga katanya, akan menyediakan laporan lengkap berhubung hasil siasatan dan penelitian dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penubuhannya.
"KKM tidak berkompromi dengan isu buli. Berdasarkan aduan kes buli sebelum ini, KKM mengambil sikap tegas dan telus dengan melaporkan hasil siasatan sejurus selesai," katanya.
Mengenai inisiatif bagi mengelak gejala buli berulang, Dzulkefly berkata sistem MyHELP sudah dilancarkan bagi membolehkan pegawai menyalurkan aduan secara terus kepada Unit Integriti, Ibu Pejabat KKM, tanpa perlu melalui penyelia atau ketua jabatan, pada 1 Oktober 2022.
Selain itu, katanya, Pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) diwujudkan dan akan turun ke lapangan bagi mengenal pasti petugas kesihatan yang memerlukan bantuan awal psikologi (PFA).
"Menyediakan program sokongan kepada pegawai perubatan dan petugas kesihatan lain, 'Kintsukuroi' di hospital tertentu serta memperkenalkan program 'House Officer Encouragementand Reassurance Through Sharing and Support' (HEARTS) di peringkat hospital bagi memberi sokongan dan membina daya tahan pegawai perubatan siswazah.
"Selaim itu, mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja Bagi Anggota KKM melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsan (NCEMH), antaranya bertujuan meningkatkan kesedaran petugas kesihatan berhubung isu buli di tempat kerja," katanya. |
|