Pasukan SAR menguruskan mayat mangsa yang ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian untuk diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut. - Gambar JBPM Sarawak
KUCHING: Seorang pemuda yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika merentas sungai di Kampung Terusan Jaya, Sematan, pada Ahad ditemui meninggal dunia kira-kira jam 1.49 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Nazratul Kamil, 26, ditemui orang kampung kira-kira 1 kilometer dari tempat kejadian.
Katanya, sejurus menerima maklumat tersebut, pasukan bergegas ke lokasi dan membawa mangsa ke jeti menggunakan bot Bomba.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Jelasnya, operasi ditamatkan sekitar jam 3.25 pagi dan setelah memastikan keadaan selamat serta terkawal, pasukan Bomba berangkat balik ke balai.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan selepas menerima laporan pada jam 3.50 petang Ahad dengan satu pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu dikerah ke lokasi kejadian.
Komander operasi dimaklumkan oleh dua saksi di tempat kejadian bahawa mangsa memakai baju berwarna oren, berseluar jeans pendek, dipercayai membawa hasil sungai diperolehinya, hilang dibawa arus air pasang ketika berenang menyeberangi sungai.
|