KUCHING: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang mengkaji semula skimnya bagi memperkukuh pendekatan pemindahan antara generasi.
Pendekatan ini kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025, adalah bagi membolehkan sebahagian simpanan KWSP dipindahkan ke akaun ahli keluarga terdekat sebagai persediaan menuju negara menua.
LAU
Ketua Pemasaran dan Pengambilan Pelajar Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Lau Wee Ming berkata bersetuju dengan pendekatan Kerajaan MADANI ini.
Pendekatan ini katanya, boleh menjamin kelangsungan keluarga terdekat terutama masa kecemasan.
"Oleh sebab mekanisme untuk pendekatan ini belum dinyatakan secara terperinci, adalah diharapkan pemindahan sebahagian simpanan KWSP ini kepada keluarga terdekat dapat membantu ahli keluarga.
"Ini secara tidak langsung dapat membantu ahli keluarga yang baru masuk alam pekerjaan atau mempunyai gaji yang kurang memberangsangkan untuk mempunyai simpanan KWSP yang lebih terutama untuk menerima dividen tahunan," katanya.
Ujar Lau lagi, pada tahun 2030 kajian menunjukkan Malaysia akan menjadi negara menua di mana 15 peratus rakyat Malaysia warga emas.
"Jadi pendekatan KWSP ini adalah bagus untuk pastikan generasi masa kini dan akan datang mendapat manfaat daripada Kerajaan MADANI," katanya.
Tetapi Kata Lau, orang ramai belum faham tentang negara menua dan menasihati Kerajaan MADANI untuk menjelaskan pendekatan ini kepada rakyat.
JILIN
Sementara itu bagi pencarum Jilin Itar, dia tidak setuju dengan pendekatan tersebut kerana memadai dengan apa yang ada sekarang iaitu penamaan ahli keluarga sebagai penerima manfaat mengikut peratusan seperti yang dipersetujui pencarum sendiri.
"Saya tidak setuju dengan pendekatan tersebut kerana memadai dengan skim yang ada sekarang.
"Pendekatan ini dilihat berupaya mempengaruhi kawalan kewangan pencarum dan membuka ruang kepada rasa tidak puas hati kepada mereka yang tidak termasuk dalam penerima manfaat," katanya kepada Utusan Borneo.
Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2025, Jumaat lepas turut berkata, kerajaan juga bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum dalam KWSP.
Langkah itu antara komitmen kerajaan untuk memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa.
Kerajaan juga bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan bayaran premium anuiti tertangguh sehingga tahun taksiran 2030.
Bagi menggalakkan lebih ramai pekerja tidak formal dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap menabung untuk persaraan insentif padanan i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada 20 peratus berbanding 15 peratus, tertakluk kepada had maksimum insentif padanan tahunan RM500 atau RM5,000 seumur hidup.
|