BINTULU: Semua pengusaha hotel di negara ini digesa agar menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar hotel bagi memastikan pengguna waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari, kata Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu menjelaskan, semasa pertemuan bersama wakil daripada beberapa persatuan industri hotel di Parlimen pada 17 Oktober, beliau telah menyatakan pendirian berhubung perkara itu.
Katanya, beliau juga akan berhubung sendiri dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu menangani masalah kekurangan kakitangan untuk memenuhi keperluan masa penginapan pelanggan.
"Penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara yang mana sebagai contoh, pelanggan mendaftar masuk pada jam 2 petang dan mendaftar keluar pada tengah hari keesokan harinya atau selewat-lewatnya pada jam 1 petang," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Ini jelasnya merupakan perkara biasa dan tidak menjejaskan kebersihan atau kualiti penginapan.
Tiong dalam masa sama, memahami senario dalam sektor perhotelan yang mahu menjimatkan kos dan dapat meraih keuntungan lebih banyak.
Namun begitu tegasnya, perkara ini bukan hanya melibatkan keuntungan pemain industri semata-mata, malah pelanggan juga mahu merasakan wang dibelanjakan itu berbaloi dengan perkhidmatan yang diterima.
"Jika gagal, pelanggan akan menerima pengalaman penginapan yang tidak memuaskan dan ini memberi gambaran jelas bahawa pihak hotel hanya mementingkan soal keuntungan dan bukannya kualiti perkhidmatan," ujarnya.
Beliau berkata pelanggan yang berbelanja semestinya mahu melakukannya dengan perasaan senang hati dan sekiranya pelanggan berpuas hati dengan apa dibelanjakan, pasti pengusaha akan gembira dengan keuntungan berlipat ganda.
Pengusaha hotel dalam masa sama, jelas Tiong turut membangkitkan kebimbangan jika melanjutkan tempoh penginapan terutamanya kerana kekurangan kakitangan, yang sekali gus mengakibatkan tempoh proses pembersihan dan penyediaan bilik menjadi lebih lama.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kepada pengusaha hotel akan membantu mereka berunding dengan KESUMA dan KDN bagi memberikan kemudahan dalam pengambilan pekerja asing.
"Pada masa ini, industri perhotelan tidak menikmati keutamaan apabila memohon untuk pengambilan pekerja asing, malah bilangan sumber negara yang dibenarkan untuk membekalkan pekerja asing amat terhad dan menjejaskan tenaga kerja," ujarnya lagi.
|