Sofi Hizar
TAWAU: Pertandingan Sukan Elektronik (e-sukan) yang dianjurkan Kelab Sukan Elektronik Tokoneo (KST) berjaya tarik peserta dari seluruh Sabah dan semenanjung Malaysia.
Presiden KST, Mohd Sofi Hizar Usrah berkata, seramai 398 peminat sukan elektronik menyertai pertandingan kali ini dan ia dilihat semakin mendapat sambutan terutamanya penggemar di Tawau.
Katanya, KST yang merupakan pelopor sukan elektronik di daerah ini memang sangat berpuas hati dengan setiap penganjuran yang diadakan.
“Ramai peminat sukan elektronik di seluruh negara sudah mula berminat untuk menyertai acara yang dianjurkan oleh KST kerana kejayaan dilakar sebelum ini.
“Acara ini adalah kali ke sembilan dianjurkan oleh KST dan setiap tahun kita membuat perubahan serta penambaikan bagi memberi keselesaan kepada peserta,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurutnya, Tawau berpotensi melahirkan ramai pemain sukan elektronik bertaraf antarabangsa dengan lebih banyak penganjuran pertandingan seumpama ini.
“Kita melihat remaja di daerah ini semakin minat menceburi sukan elektronik dan ia satu perkembangan yang baik untuk melahirkan pemain profesional pada masa akan datang.
“KST mahu menjadi medium untuk semua peminat tegar sukan elektronik berkumpul dan mengeratkan silaturahim terutamanya di negeri ini,” katanya.
LAWAT: Sofi Hizar melawat tapak-tapak permainan sukan elektronik dalam acara berkenaan.
Sofi Hizar berkata, banyak perancangan yang sudah dibuat pada masa hadapan termasuklah menganjurkan sukan elektronik di sekolah, kolej dan institut pengajian tinggi (IPT) di daerah ini.
“Kita mahu menjadikan sukan elektronik ini menjadi popular dalam kalangan belia seperti sukan-sukan yang lain kerana ia juga boleh menjadi satu kerjaya profesional seperti di negara lain.
“Saya sangat mengharapkan pihak kerajaan dan swasta dapat membantu mengembangkan sukan elektronik di daerah ini,” katanya.
|