|
Pertama kali bergandingan dalam drama Di Hatiku Ada Kamu, pelakon Hannah Delisha menyifatkan aktor Redza Rosli sebagai seorang yang pemalu dan penuh hormat, terutama terhadap pelakon berhijab.
Memetik Kosmo, Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, 28, Redza sentiasa meminta izin setiap kali babak memerlukannya memegang bahagian tubuhnya.
“Redza seorang yang pendiam, sama seperti saya. Jadi, pada awalnya kami agak kekok, tetapi selepas dua minggu, semuanya berjalan lancar. Pada mulanya, saya bimbang kerana tidak pernah bekerja dengannya, namun Redza sangat profesional dan menghormati pelakon berhijab.
“Setiap kali ada babak yang memerlukan dia memegang bahu saya, dia akan minta izin terlebih dahulu. Sebagai pelakon profesional, selagi babak itu wajar, saya tiada masalah,” jelas Hannah.
Hannah turut menyatakan bahawa mereka berdua sudah berkahwin, jadi batasan sentiasa dijaga, meskipun pasangan masing-masing memahami kerjaya mereka sebagai pelakon.
“Saya tersentuh dengan keprihatinan Redza. Dia sangat menjaga batasan, mungkin juga kerana dia telah berkahwin. Dia memilih untuk tidak terlalu rapat dengan saya di set penggambaran. Namun, memandangkan kami berlakon sebagai pasangan kekasih dalam drama ini, tidak boleh terlalu kekok juga. Saya yang biasanya pemalu, mengambil inisiatif untuk berbual bagi mewujudkan keserasian.
“Alhamdulillah, kami berdua profesional dan serasi ketika bekerja. Insya-Allah, selepas ini akan ada lagi drama gandingan kami,” tambahnya.
Hannah, yang berasal dari Singapura, turut berkongsi bahawa ini adalah kali pertama dia terlibat dalam karya untuk platform penstriman Viu.
“Jujurnya, saya risau sama ada orang akan terima gandingan pertama saya dengan Redza. Namun, selepas episod pertama ditayangkan, komen positif yang saya terima menaikkan semangat untuk memberi yang terbaik.
“Saya tidak mahu penonton bosan melihat saya melakonkan watak yang sama, jadi dalam setiap drama, saya cuba berikan kelainan,” jelasnya tentang Di Hatiku Ada Kamu, yang penggambarannya dijangka selesai pada pertengahan November ini.
Drama 26 episod terbitan Global Station Sdn. Bhd. ini mula ditayangkan di Viu pada 10 Oktober lalu, dan diadaptasi daripada novel Di Hatiku Ada Kamu karya Rinsya Chasiani. Selain Hannah dan Redza, ia turut dibintangi Danial Dashuki, Qistina Khaled, Datuk Seri Eizlan Yusof, Mas Anizan, dan ramai lagi.
Diarahkan oleh Azri Izhar, drama ini mengisahkan Rian Aulia, seorang gadis yang tertarik kepada Adif, seorang pemuda dengan masa lalu yang penuh liku dan agenda tersendiri. Walaupun melalui pelbagai cabaran, mereka akhirnya berkahwin, namun Rian terpaksa berhadapan dengan kebenaran mengejutkan tentang Adif.
Sumber – KOSMO! ONLINE |
|