TANGKAP: Suspek ditahan di rumahnya dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas mengamuk menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Melati Burut, di sini, semalam.
Kejadian itu disedari oleh seorang wanita selepas suspek datang ke rumahnya sambil menjerit dan membawa sebilah barang untuk membuat provokasi supaya bapa wanita itu keluar dari rumah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada wanita berkenaan.
Katanya, susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Imam, di sini.
“Pasukan serbuan berjaya mengesan lelaki terbabit di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan dan bertindak menahan suspek yang disyaki dalam kes ugutan jenayah.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek adalah warga asing berusia 29 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Jasmin berkata, suspek seterusnya dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
|