Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dikuatkuasakan mulai 1 Oktober
Dr Veronica (barisan depan, tiga kanan) bersama yang lain menunjukkan poster ‘Dilarang Merokok’ pada Majlis Perasmian Operasi Mega Bersepadu bagi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, Kempen Perangi Gula dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Negeri Sarawak 2024 hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Sebanyak 6,742 premis di Sarawak telah diperiksa Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) sejak penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Oktober tahun ini.
Pengarah JKNS Dr Veronica Lugah berkata, jenis premis yang diperiksa termasuk kedai khas, kedai runcit, kedai serbaneka, tempat makan dan lain-lain.
“Hasil pemeriksaan ini, sebanyak lima notis di bawah Seksyen 47 telah dikeluarkan dan 193 barangan disita dengan nilai sitaan berjumlah RM1,281.
“Daripada jumlah notis kesalahan tersebut, lima kesalahan dicatatkan di bawah Seksyen 16(2) kerana merokok di tempat larangan merokok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Operasi Mega Bersepadu bagi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, Kempen Perangi Gula dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Negeri Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Selain itu, Dr Veronica berkata, sebanyak 7,653 nasihat turut diberikan kepada pemilik premis yang dilawati sejak penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok ini. “Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan memastikan pematuhan undang-undang,” katanya.
Beliau menjelaskan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diwartakan pada 2 Februari lalu kini berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober 2024.
Akta baharu ini katanya, diwujudkan bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 yang telah dikuatkuasakan sejak tahun 2004.
“Akta ini merangkumi pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam.
“Penguatkuasaan akan dikuatkuasakan secara serta-merta dan secara berfasa,” ujar beliau.
Penguatkuasaan yang dijalankan secara serta-merta ini katanya, termasuk membabitkan larangan pengiklanan produk merokok dan produk merokok tiruan, larangan penjualan produk merokok di institut pendidikan, pasar jualan, mesin layan diri dan dalam talian, larangan penjualan produk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD) serta pengisytiharan kawasan atau tempat dilarang merokok.
“Manakala penguatkuasaan bagi seksyen di bawah Akta 852 yang dijalankan secara berfasa termasuk pendaftaran produk merokok, yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.
“Ini termasuk pembungkusan dan pelabelan, yang akan dikuatkuasakan mengikut produk selewat-lewatnya 1 Oktober 2025 dan Kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan, yang akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya 1 April 2025,” ujar beliau.
Menurut Dr Veronica JKNS komited memastikan pematuhan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 demi kepentingan orang awam.
“Sehubungan itu orang ramai dingatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
|