Uggah menyampaikan skrol ijazah kepada salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-28 bagi sesi sidang kedua hari ini. - Gambar Chimon Upon
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memainkan peranan penting dalam menjadikan Sarawak sebagai peneraju tenaga hijau di Malaysia, terutamanya dalam penyelidikan hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan solar.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak memiliki potensi besar untuk menjadi pusat tenaga hijau, dan dengan sokongan UNIMAS dalam penyelidikan, Sarawak optimis dapat merealisasikan hasrat menjadi pembekal utama hidrogen bersih di negara ini.
Menurut beliau, usaha ini akan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, selaras dengan matlamat negara untuk mencapai pembangunan mampan.
Namun menurutnya, Sarawak bukan hanya memerlukan kepakaran teknikal untuk memasang sistem tenaga, tetapi juga kebijaksanaan dalam mengurus dan membangunkan dasar yang menyokong industri tenaga mampan.
“Adalah penting untuk kita melahirkan graduan yang bukan sahaja mampu mengembangkan dan menerapkan teknologi baru, tetapi juga peka terhadap keperluan sosial dan alam sekitar dalam setiap keputusan diambil,” katanya berucap sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-28 hari ini.
Beliau yang juga Pro Canselor UNIMAS memberitahu, menerusi kolaborasi strategik dengan UNIMAS, kerajaan negeri berharap dapat memperkasakan lebih banyak kajian dan program kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar dan amalan hijau.
Menurutnya, kerajaan negeri amat prihatin terhadap isu perubahan iklim yang semakin menekan dunia hari ini, justeru, kesedaran mengenai impak perubahan iklim dan inisiatif bagi mengurangkan jejak karbon semakin menjadi keutamaan pada masa kini.
“Dalam usaha menjaga alam sekitar, Sarawak mengambil langkah tegas memelihara hutan dan ekosistem semulajadi kita, yang memainkan peranan penting dalam mitigasi perubahan iklim.
“Kita memerlukan graduan yang berwawasan dan berkomitmen untuk melindungi warisan alam ini, demi kelangsungan generasi akan datang,” katanya yang turut menyeru para graduan UNIMAS untuk memainkan peranan aktif dalam menyumbang ke arah kemajuan Sarawak.
Dalam pada itu, Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-28 sesi sidang kedua hari ini menyaksikan seramai 552 orang graduan dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (485 orang) serta Fakulti Alam Bina (67 orang) menerima Penganugerahan Ijazah Sarjana Muda.
Sementara pada sesi sebelah petang, seramai 521 graduan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan diberi penganugerahan Ijazah Sarjana Muda bagi sidang ketiga.
Turut diumumkan pada setiap sidang adalah penerima-penerima anugerah akademik iaitu Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) yang dianugerahkan kepada Dayang Nurina Nazihah Awang Abdul Rahim dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia dan juga kepada Annie Lau Siew Ming dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan.
Selain itu, Anugerah Canselor dirangkul oleh Nur Ardini Noh dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber manakala Anugerah Pro Canselor diberikan kepada Cathryn Anila dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Seramai 3,100 graduan prasiswazah akan diraikan dalam majlis konvokesyen yang diadakan dari hari Selasa hingga Khamis, melibatkan sesi sidang pada waktu pagi dan petang.
|