Infografik menunjukkan jalan raya terjejas. - Gambar Facebook Sarawak Metro
KUCHING: Separuh Jalan Tun Razak dan Jalan Datuk Marican Salleh di sini akan ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemindahan utiliti bermula 6 November 2024 hingga 2 Februari 2025.
Sarawak Metro Sdn Bhd dalam satu kenyataan yang Facebook berkata kerja-kerja itu adalah di bawah Pembinaan dan Penyiapan Kerja-kerja Infrastruktur Laluan Merah dari Kuching Sentral ke Pending projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa 1.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihati agar sentiasa berhati-hati ketika memandu di kawasan tersebut sepanjang tempoh penutupan satu lorong jalan iaitu selama 91 hari.
“Sila patuhi semua langkah pengurusan lalu lintas, papan tanda amaran jalan raya dan had laju bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan pekerja binaan.
"Sarawak Metro Sdn Bhd akan memberitahu orang ramai jika terdapat sebarang perubahan pada tarikh penutupan separa jalan," katanya.
Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah diamanahkan oleh Kerajaan Sarawak untuk memodenkan sistem pengangkutan awam khususnya di bandar raya ini melalui projek KUTS.
Ciri utama projek KUTS ialah pengenalan kenderaan hidrogen Autonomous Rapid Transit (ART) pelepasan sifar, yang akan dikendalikan di lorong khusus, kebanyakannya berada di gred (paras jalan) dan beberapa bahagian bertingkat.
|