KERJASAMA: Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama antara Lembaga Pelancongan Sabah dan Intrepid UK yang disaksikan oleh Christina (tiga kiri), Zakri, Joniston (kanan), dan Josie (dua kiri).
KOTA KINABALU: Sabah memperkenalkan inisiatif Kempen Explore Sabah sempena World Travel Market (WTM) tahun ini di London bagi menyerlahkan tarikan unik negeri ini dan membuka jalan kepada Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew melancarkan kempen berkenaan di Pavilion Sabah pada hari pertama pameran perniagaan WTM di Excel Docklands semalam.
Beliau mengetuai delegasi Sabah sepanjang acara WTM yang berlangsung selama empat hari. Tahun ini, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mengetuai penyertaan Sabah di WTM dengan menampilkan pameran 13 ejen tempatan di Pavilion Sabah.
Menurutnya, penyertaan Sabah sempena acara WTM adalah sebahagian daripada perjalanan yang lebih besar untuk berhubung dengan rakan-rakan global dan memperkuatkan kehadiran pasukan pelancongan Sabah di United Kingdom.
"Pavilion Sabah ini mewakili komitmen kami untuk berkongsi keajaiban Sabah dengan dunia serta meletakkan Sabah sebagai destinasi utama untuk pengalaman budaya, pengembaraan, dan alam semula jadi yang tidak dapat dilupakan.
"Explore Sabah adalah inisiatif strategik untuk meningkatkan daya tarikan Sabah sebagai destinasi pilihan, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Melalui Explore Sabah, kami bersiap sedia untuk mempamerkan negeri Sabah yang mempesonakan dan mewujudkannya sebagai destinasi pilihan Malaysia bagi mereka yang mencari pengalaman budaya, pengembaraan, dan alam semula jadi yang tidak dapat dilupakan," jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kempen berkenaan memfokuskan kepada 10 keistimewaan unik Sabah, termasuk tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), lima puncak tertinggi, kekayaan biodiversiti, serta pengalaman bertemu hidupan liar yang tidak dapat dilupakan.
Christina berkata, setakat ini, sektor pelancongan Sabah merekodkan pertumbuhan yang ketara dari Januari hingga Ogos, dengan jumlah ketibaan pelancong seramai 2,094,202 orang.
Katanya, jumlah berkenaan mencatatkan peningkatan sebanyak 25.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023 iaitu seramai 1,665,951 pelancong.
"Ketibaan antarabangsa meningkat sebanyak 64.5 peratus yang mencatatkan seramai 867,231 pelawat sekali gus membawa industri pelancongan kembali kepada 87 peratus berbanding semasa pra-pandemik.
"Pada masa ini, Sabah dihubungkan dengan 19 destinasi antarabangsa dan kita merancang untuk menambahkan lagi jumlah destinasi sedia ada.
"Kita optimis untuk mencapai sasaran tiga juta pelawat menjelang penghujung tahun ini," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan kerjasama kempen peringkat nasional antara STB dan Intrepid UK bertujuan mempertingkatkan lagi profil antarabangsa Sabah.
Sepanjang empat hari WTM, Pavilion Sabah menyediakan persembahan oleh Duta Kebudayaan Sabah iaitu Stanley Missun dari Sabah Tamparuli Bamboo Music Orchestra; Unduk Ngadau Hyellene Danius; dan pemain seruling terkenal, Payuki yang kesemuanya mempersembahkan warisan budaya negeri ini.
Para peserta WTM juga berpeluang menyaksikan persembahan tarian budaya daripada komuniti Sabah di UK.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Josie Lai; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Zakri Jaafar; dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffery Jimit.
Sempena dengan WTM, Christina turut mengadakan sesi perjumpaan dengan rakan-rakan industri dan media dari UK serta sektor swasta Sabah pada 4 November. Inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen STB untuk mengekalkan hubungan pemasaran yang kukuh dengan pemegang taruhnya.
Selain itu, beliau juga akan mengetuai satu delegasi dari kementeriannya dan STB untuk mengadakan pertemuan dengan Pengarah Asia Tenggara & Pasifik, Pejabat Luar Negara, Komanwel dan Pembangunan Charles Hay.
|