Pengiran Daud (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Madrasah Tahfiz An-Nur Gedong sambil disaksikan Abang Johari, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Mohd Naroden (tengah), Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (kanan) serta kenamaan lain.
BINTULU: Anak-anak Sarawak termasuk di Gedong perlu menilai kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mempunyai perancangan luar biasa, berinspirasi dan bermotivasi membangunkan negeri ini.
Penaung Gedong Permulaan Kami (GPK) Kuching Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata anak Sarawak dan Gedong perlu bijak menilai semua ini untuk mengukir kemajuan masa depan sendiri melalui segala yang diperkenal serta perancangan disediakan kepimpinan Premier.
Beliau berkata, hasil kepimpinan ini memperlihat banyak tempat di Sarawak dari Lawas hingga ke Telok Melano dihubungkan dengan rangkaian jalan raya sama ada Lebuh Raya Pan Borneo mahupun jalan pesisir.
"Kepimpinan bijak, berani dan luar biasa ini dipandang tinggi bukan sahaja pemimpin dalam negara malah rantau Asia," katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Tautan Kasih GPK Bintulu 2024 di sini malam semalam.
Menurutnya, Premier memperkenal ekonomi digital, teknologi Internet dan digital malah teknologi bahan api baharu minyak rumpai laut atau alga diuji melalui penerbangan dari Kuching ke Langkawi.
"Sekarang ini, Bintulu ada ladang tanaman alga iaitu kilang memproses minyak kapal terbang daripada alga.
“Insya-Allah kami di Gedong dalam proses membangunkan 100 hektar tanah untuk tanaman alga yang sama," jelasnya.
Selain itu katanya, Sarawak turut memperkenal gas hidrogen daripada air yang mampu menggantikan minyak petrol dan diesel pada masa akan datang serta menjadi hab angkasa di rantau ini dengan permulaan kursus di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
"Sarawak juga menjadi pengeksport semikonduktor dan cip komputer terbesar ke seluruh dunia untuk kereta dan kapal terbang dengan kilangnya di Jerman termasuk memperkenal banyak inisiatif lain," katanya.
Justeru, beliau menyeru agar peluang dan kemudahan yang disediakan oleh negeri ini perlu diambil manfaat oleh semua rakyat Sarawak.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola GPK Bintulu Dato Pengiran Daud Pengiran Putera berkata masyarakat Melayu di Gedong pernah melalui beberapa kerajaan dari Santubong hingga ke Kalaka yang memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti negeri ini.
Jelasnya, budaya dan adat Melayu sangat dipengaruhi oleh nilai-nilai keagamaan dan kepercayaan Islam yang menjadi teras perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan seharian masyarakat Gedong.
Katanya, adat istiadat Melayu seperti majlis perkahwinan, khatam al-Quran dan sambutan Hari Raya semuanya mencerminkan hubungan erat antara agama dan budaya.
"Islam sebagai agama memandu kehidupan masyarakat Melayu telah mendidik kita mengamalkan nilai kesopanan, tolong menolong dan hormat menghormati dalam segala aspek kehidupan.
"Kita berpegang kepada prinsip-prinsip ini dalam usaha memelihara keharmonian dan keamanan di negeri ini," katanya.
Justeru, beliau melihat kepimpinan Premier membawa Sarawak ke tahap lebih tinggi dan majlis itu merupakan wadah terbaik memperkukuh perhubungan untuk terus menyokong visinya demi kemajuan dan keharmonian negeri ini.
Katanya, pertemuan itu juga memberi manfaat besar mengukuhkan kasih sayang antara masyarakat Gedong dan setempat.
Pada majlis itu, lima pusat pengajian Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima sumbangan iaitu Institut Tahfiz Bintulu (ITB), Madrasah At-Taqwa Bintulu, Madrasah Tahfiz An-Nur Gedong, Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) Bintulu dan Urusetia Saudara Kita (USK) Bintulu.
|