Niang ditemui selamat dan dibawa ke rumah panjangnya.
KUCHING: Warga emas yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ditemui selamat kira-kira jam 10.30 pagi hari ini berhampiran Sungai Antu, Batu Lintang, Sri Aman. Mangsa, Niang Lasa, 75, dijumpai orang awam di luar zon pengoperasian sejauh lebih kurang lapan kilometer (km) dan terus dibawa ke Pos Kawalan Bomba (PKB) operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Rumah Ringgit, Ibol Sri Aman.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan berkata susulan penemuan mangsa, operasi SAR di lokasi pencarian ditamatkan jam 12 tengah hari.
"Pemeriksaan telah dijalankan ke atas mangsa yang kemudiannya dibawa ke hospital menaiki ambulans untuk rawatan susulan.
"Operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini juga ditutup dan ditamatkan sepenuhnya jam 1.30 petang atas arahan Komander Operasi ASP Leonard Mallaca," katanya.
Dalam pada itu laporan mengenai kehilangan Niang diterima pada pagi Khamis lepas kira-kira jam 7.30 pagi selepas keluar ke kebunnya di Sungai Raya Ibol kira-kira jam 11 pagi, Rabu.
Niang turut dilaporkan tidak berbaju ketika keluar rumah dan hanya menggunakan seluar panjang dan membawa parang.
|