Noreha (dua kiri) melekapkan tangan pada peranti bagi merasmikan Majlis Konvokesyen SeDidik Sarawak Zon Bintulu sambil disaksikan Siti Rodziah (kiri) dan Noraini (dua kanan) hari ini.
BINTULU: Sarawak akan terus meningkatkan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak berkualiti dengan menetapkan sasaran 100 peratus kanak-kanak mengikuti prasekolah pada 2030.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata kerajaan mahu memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang sama tanpa mengira latar belakang supaya tiada anak tercicir agar menjadi asas kukuh untuk cemerlang dalam alam persekolahan.
Justeru katanya, peningkatan kualiti dalam pendidikan awal antara aspek penting ditekankan di SeDidik Sarawak dengan guru-gurunya dilatih menggunakan pendekatan berkesan yang mampu memupuk potensi anak-anak dari usia awal.
"SeDidik Sarawak mencapai 94.73 peratus (162 guru) memiliki kelayakan Ijazah dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak manakala 5.21 peratus (lima guru) masih dalam pengajian," katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak Noreha Ali pada perasmian Majlis Konvokesyen SeDidik Sarawak Zon Bintulu untuk 121 kanak-kanak dari lapan pusat SeDidik di sini hari ini.
Menurutnya, pendidikan inklusif juga penting dalam membina generasi berempati dan saling menghormati yang mana SeDidik mengamalkan pendidikan menerima semua kanak-kanak tanpa mengira perbezaan fizikal, kognitif dan sosioekonomi.
Katanya, seramai 193 anak inklusif mendaftar dengan SeDidik Sarawak tahun ini dan 64 pusat terlibat dengan Program 'Kids Bits & Bytes' disertai 713 anak-anak di SeDidik Sarawak dengan 427 unit peranti tablet diedarkan.
"Turut diperkenalkan pembentukan modal insan, program kepimpinan muda, tabungan muda, pembelajaran melalui bermain, pemberian makanan seimbang dan SeDidik Sarawak memperuntukkan RM1.9 juta bagi nutrisi dan pemakanan tahun ini," jelasnya.
Katanya, SeDidik berusaha membuka pusat taska dan tadika di kawasan memerlukan di bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman kerana yakin pendidikan awal asas penting dalam pembentukan modal insan berkualiti dan kesediaan anak-anak memulakan alam persekolahan dengan baik.
"Setiap anak layak mendapat peluang ini agar mereka mampu bersaing dan berjaya pada masa akan datang," katanya.
Turut hadir Pengurus Kanan Sektor Perkhidmatan Korporat SeDidik Sarawak Siti Rodziah Bunsu Drahman, Pengurus Operasi SeDidik Zon Bintulu Noraini Mahdi dan tetamu lain.
|