BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) menyeru semua pihak mengetepikan segala isu berkaitan perkauman dan agama kerana boleh memberi implikasi buruk terhadap hubungan masyarakat di negara ini.
Ahli Parlimen Bintulu itu menegaskan, sikap perkauman secara tidak langsung turut memberi persepsi negatif terhadap pelancong yang datang melawat negara ini.
"Ia harus dihentikan segera kerana berupaya merosakkan imej negara yang didiami masyarakat majmuk dan penuh kepelbagaian seterusnya merencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Apa yang menarik perhatian beliau berhubung isu perkauman ini ialah penguatkuasaan peraturan mengenai papan tanda dwibahasa mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas.
Katanya, tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati ketara dan mewujudkan persepsi negatif kalangan pelancong antarabangsa.
"Tingkah laku melampau sebegini bukan sahaja menyebabkan pelancong mempersoal keterbukaan dan keterangkuman Malaysia, tetapi juga beberapa pelawat antarabangsa bertanya secara langsung kepada saya.
"Adakah Malaysia sebuah negara yang rasis atau ekstrem dalam beragama," jelasnya.
Katanya, keraguan itu secara tidak langsung mempengaruhi keputusan pelancong melawat Malaysia sekali gus menjejaskan daya saing negara di persada sektor pelancongan global.
Tiong turut menekankan Malaysia bersedia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025 dengan beberapa siri mesyuarat ASEAN dijadualkan berlangsung di negara ini tahun depan.
"Ini memberi peluang keemasan mempamerkan kepelbagaian dan keterangkuman Malaysia di pentas global, bagaimanapun saya memberi amaran kontroversi perkauman atau agama berterusan menghakis kepercayaan dan kerjasama antarabangsa," katanya.
Beliau berkata, ia berpotensi memberi impak negatif terhadap Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
|