Fatimah menyampaikan pingat kepada salah seorang individu yang pulih sebagai tanda penghargaan dan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti berkaitan pemulihan dadah.
DALAT: Konsep pemulihan dalam komuniti dilihat sebagai antara pendekatan terbaik bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kerajaan telah menyediakan perkhidmatan ataupun One Stop Centre for Addiction (OSCA) di klinik kesihatan seluruh negeri ini.
Pengerusi One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Sarawak itu berkata, OSCA adalah bersifat 'Community-Based' dan berfungsi sebagai 'Flood-Gate' mengawal kebanjiran kemasukan kes penyalahgunaan substans ke hospital.
"Banyak kajian menunjukkan kepentingan sokongan psikososial, intervensi kaunseling dan komponen psikologi serta kerohanian bagi membantu rawatan penyalahgunaan substans (Bio-Psychosocial-Spiritual)," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Pemerkasaan Komuniti Kepulihan Daerah Dalat di Community Development and Intervention Centre (CDIC) Bahagian Mukah di Oya, Dalat semalam.
Menurutnya, usaha dilakukan berterusan ini adalah sejajar dengan rekomendasi WHO dan UNODC menyarankan intervensi dan rawatan penyalahgunaan dadah dijalankan secara 'outpatient'.
"OSCA secara umumnya merupakan satu pusat perkhidmatan sehenti bagi rawatan dan pemulihan dalam komuniti secara sukarela untuk individu ketagih substans dan dadah dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan.
"Perkhidmatan ini merangkumi intervensi penagihan dan penyalahgunaan inhalan, daun ketum dan ATS, intervensi kemudaratan alkohol, intervensi penagihan ubat pelali dan ganja dan klinik berhenti merokok dan Klinik Terapi Bantuan Secara Ubatan (MAT) untuk penagihan Opioid," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyampaikan pingat kepada lima individu pulih dan kekal pulih dadah sebagai tanda penghargaan untuk pemulihan dan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti berkaitan komuniti kepulihan.
Untuk bahagian Mukah, lima orang penerima dipilih atas jasa mereka terlibat bersama aktiviti penganjuran OSC MIDS Daerah Dalat.
|