Rosey (belakang, tengah) merakamkan kenangan bersama para penerima sijil penghargaan dan anugerah pada Majlis Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Bahagian Kuching 2024, hari ini.
KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan golongan kanak-kanak dan belia sebagai penjaga generasi serta pendukung masa depan negara selaras dengan pelaksanaan Undi18.
Demikian kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Bahagian Kuching 2024 di sini, hari ini.
“Sekarang kita ada Undi18, iaitu 18 tahun mereka sudah boleh mengundi.
“Selaras dengan penurunan had umur mengundi ini, kita sekarang tekankan kepada pembangunan belia dan kanak-kanak kita. “Kerana itulah masa depan kita. Silap langkah anak-anak ambil, silaplah juga masa depan kita nanti,” ujarnya.
Beliau turut meminta pengundi muda hari ini untuk mempersiapkan diri sebagai modal insan yang matang dalam membuat keputusan bagi masa depan Sarawak.
Rosey menegaskan keputusan yang salah akan membawa padah kepada masa depan Sarawak yang pada masa kini sedang ditatang sebaiknya oleh Premier Sarawak.
“Kerana jika kita tidak menyokong usaha berkenaan, masa depan kita juga akan kabur. Sekarang dengan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun, ertinya selepas satu transisi masa, kita akan serahkan tugas dan tanggungjawab itu kepada anak-anak.
“Jadi apabila anak-anak menerima tugas dan tanggungjawab itu, kita berharap anak-anak akan menerima dengan penuh rasa tanggungjawab, sebab perkara ini penting,” katanya.
Justeru, warga pendidik dan ibu bapa diingatkan untuk mendidik anak bangsa menggunakan pendekatan yang mudah dan telus susulan pendedahan maklumat tanpa batasan dalam dunia maya hari ini.
Seramai 150 kanak-kanak dari Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Bandar Baru Samariang, Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Lundu, Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Desa Ilmu, Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching, Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman; Sekolah Tunas Bakti Kuching, Asrama Akhlak dan Taman Seri Puteri Kuching diraikan pada majlis itu yang bertemakan, 'Listen to the Future.'
Tema tersebut dipilih sebagai simbolik kepada pengiktirafan kerajaan terhadap kanak-kanak selaku tunjang harapan dan aspirasi untuk masa depan negara.
|