MESIN basuh itu akan diperkenalkan pada Ekspo Osaka Kansai, April depan. FOTO Kazuhito Suwa/Collect
Tokyo: Jurutera di Jepun membangunkan mesin basuh manusia futuristik yang boleh membaca mood anda dan tidak memerlukan sabun untuk membersihkan badan.
The Sun UK melaporkan, ia direka hampir seperti kokpit pesawat pejuang - gelembung berbentuk telur seperti yang didedahkan oleh Science Co dan akan diumumkan secara rasmi di Ekspo 2025 Osaka, Kansai, pada April nanti.
Menurut portal itu, 'mesin basuh manusia masa depan' ini adalah berdasarkan reka bentuk berasal dari tahun 70-an. Tetapi ia direka bentuk semula untuk pengalaman mandi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
Sebahagian daripada ruang dalam mesin ini akan berisi air. Penderia yang dibenamkan di tempat duduk akan mengukur nadi seseorang dan data biologi yang lain, untuk memastikan proses mandi pada suhu yang sesuai.
Pada masa sama, sistem AI menentukan sama ada pengguna tenang atau teruja.
Ini digunakan untuk menayangkan imej pada bahagian dalam penutup lut sinar untuk membantu orang itu berasa segar yang mana kitaran basuh dan kering mengambil masa hanya 15 minit.
Science Co merancang untuk membenarkan pengguna mencuba alat baharu itu sebelum ia menjengah ke pasaran.
Pengerusi syarikat itu, Yasuaki Aoyama, berkata: "Kami merancang untuk menawarkan 1,000 pelawat umum berpeluang untuk menggunakannya semasa ekspo nanti."
Bagi sesiapa yang ingin mencuci badan di dalam mesin itu, tempahan khas untuk mencubanya kini ada di laman web syarikat berkenaan.
Bagaimanapun Science Co tidak boleh mengambil kredit sepenuhnya untuk konsep itu.
Gergasi teknologi Jepun, Sanyo Electric Co (sekarang Panasonic Holdings Corp) pada Ekspo Osaka 1970 melancarkan mesin basuh manusia pertama di dunia. Ia dengan reka bentuk futuristik dan menggunakan teknologi gelembung udara hingga menarik perhatian ramai.
Versi itu dipanggil "Ultrasonic Bath" dan mempunyai beberapa perbezaan ketara daripada model baharu itu.
Disiarkan pada: Disember 1, 2024
|