Mangsa yang hanyut selama 12 jam di Batang Rajang diselamatkan pasukan BBP Sibu Sentral awal pagi tadi.
SIBU: Tindakan pantas pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang hanyut hampir 12 jam di Batang Rajang, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 29 tahun itu diselamatkan sekitar jam 4.13 pagi selepas dipercayai terjatuh ke sungai ketika memancing di kawasan Jambatan Durin pada petang sebelumnya.
Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie, panggilan kecemasan diterima daripada orang awam pada jam 3.11 pagi, sebelum operasi menyelamat segera dilancarkan.
"Mangsa ditemui hanyut sejauh lebih 30 kilometer dari lokasi asal dia terjatuh.
"Dia berjaya bertahan dengan menggunakan beg galas sebagai pelampung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi penyelamat digerakkan segera sebaik pasukan tiba di Tebingan Sibu.
Mangsa kelihatan terkapai-kapai di tengah sungai dan bot penyelamat berjaya membawanya ke tebing dengan selamat.
"Mangsa dilaporkan terjatuh ketika mencuci kaki selepas memancing.
"Arus sungai yang deras menghalangnya berenang ke tebing, menyebabkan dia hanyut sehingga ditemui oleh pemancing lain," tambahnya.
|