
Billy (tengah) bergambar bersama penduduk kampung selepas selesai Program Gotong-Royong Perdana Kampung Temaga Dayak semalam. - Gambar UKAS
LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang memuji inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Temaga Dayak bersama penduduk setempat dalam memperkasa sektor ekopelancongan di kampung tersebut.
Ketika berucap pada Program Gotong-Royong Perdana Kampung Temaga Dayak semalam, Billy menyatakan bahawa usaha membersihkan kawasan tapak perkhemahan di air terjun kampung itu wajar dipuji kerana memberi impak positif kepada daya tarikan pelancong.
Memetik laporan UKAS, beliau mencadangkan agar JKKK Kampung Temaga Dayak mengemukakan permohonan untuk membina benteng di pertengahan Sungai Temaga Dayak, menjadikannya lebih menarik sebagai destinasi pelancongan.
Program gotong-royong tersebut turut disertai Ketua Kaum Kampung Temaga Dayak Jimmy Junit dan Pengerusi Projek Malaysia MADANI Zon 11 Lundu Kaunselor Mohd Nazrul Firdaus.
Usaha bersama seperti ini kata Billy, mencerminkan komitmen masyarakat terhadap pembangunan komuniti dan sektor pelancongan yang mampan.
|