
KUCHING: Dapatan tinjauan prestasi menteri dan timbalan menteri Dayak boleh menjadi 'alat' berguna bagi mengukur persepsi rakyat tetapi kredibiliti tinjuan khususnya metadologinya juga harus dinilai.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah (gambar) berkata faktor seperti sampel, demografi dan soalan tinjauan perlu dititikberatkan.
Beliau menambah, faktor-faktor itu harus mewakili populasi, ia memainkan peranan penting dalam memastikan ketepatan dan kredibiliti penemuan kajian.
"Sebagai menteri Kabinet Sarawak, saya menghormati pandangan rakyat dan percaya maklum balas orang ramai, sama ada positif atau ktirikal, penting untuk direnung serta diperbaiki oleh pemimpin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (NUAC) Profesor Datuk Dr Jayum Jawan berhubung penemuan tinjauan prestasi menteri dan timbalan menteri Dayak Sarawak, baru-baru ini.
Fatimah yang juga Ketua Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata: "Sebagai ahli Kabinet Sarawak, kami kekal komited berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik mungkin.
"Maklum balas yang membina, berasaskan data boleh dipercayai, memberi pandangan berharga untuk kami (menteri dan timbalan menteri) membuat penambahbaikan," katanya.
Beliau menambah, ahli Kabinet Sarawak menggalakkan penglibatan berterusan antara kerajaan dan rakyat supaya kebimbangan dapat ditangani secara langsung selain bekerjasama mencipta perubahan yang bermakna.
"Dari perspektif komuniti, saya faham betapa pentingnya pemimpin bertanggungjawab dan berhubung dengan rakyat di bawah tanggungjawabnya.
"Walaupun tinjauan ini mungkin menonjolkan persepsi tertentu, adalah penting untuk memastikan maklum balas adalah berdasarkan data yang kukuh untuk benar-benar mencerminkan sentimen orang ramai," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu.
Jayum dalam kenyataannya berkata daripada 18 menteri dan timbalan menteri Dayak yang dinilai netizen Dayak, hanya tiga melepasi penilaian kelulusan 50 peratus dan ke atas manakala selebihnya 'lemah'.
Dapatan kajian itu adalah daripada maklum balas 172 daripada 183 peserta atau netizen terlibat.
Menurut Jayum tiga menteri yang diberi 'lulus' dengan kadar kelulusan tertinggi ialah Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
|