Edited by Vellfire at 7-1-2025 01:40 AM

Pelan lokasi kerja-kerja pengorekan jalan dan pemasangan paip utama bersaiz 1200mm Mild Steel Cement Lined.
SIBU: Simpang Jalan Alan di sini akan ditutup sepenuhnya selama tujuh jam pada Sabtu ini bagi kerja pengorekan jalan dan pemasangan paip utama bersaiz 1200mm Mild Steel Cement Lined.
Lembaga Air Sibu (LAS) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penutupan jalan akan bermula pada jam 10 malam Sabtu hingga 5 pagi Ahad ini.
Penutupan tersebut melibatkan kawasan di Persimpangan Jalan Alan dan Jalan Salim, dengan tujuan meningkatkan sistem bekalan air di kawasan berkenaan.
“Bagi memastikan kerja ini berjalan lancar, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif sepanjang tempoh penutupan.
“Orang ramai juga diminta mematuhi papan tanda arah dan langkah keselamatan yang telah disediakan,” menurut kenyataan itu.
LAS turut memberi jaminan bahawa pihak kontraktor akan berusaha menyiapkan kerja tersebut secepat mungkin.
Bagaimanapun, kerja itu mungkin dijadualkan semula sekiranya keadaan cuaca atau tapak kerja tidak mengizinkan.
“LAS memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama semua pengguna jalan raya,” tambah kenyataan itu.
|