
Lee, Lukanisman, Yii, Ariffin dan Abdullah bersama para pemimpin PMM duduk semeja semasa Majlis Sambutan Krismas 2024 dan Tahun Baharu 2025 PMM di Wisma Melanau Miri, Sabtu lepas.
MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin menyeru rakyat tanpa mengira bangsa atau agama untuk terus memelihara keharmonian dan perpaduan.
Dalam ucapan alu-aluan semasa Majlis Sambutan Krismas 2024 dan Tahun Baharu 2025 anjuran Persatuan Melanau Miri (PMM) di Wisma Melanau di sini Sabtu lepas, beliau memuji keunikan budaya di Sarawak di mana rakyat daripada pelbagai latar belakang boleh bersama-sama meraikan perayaan seperti Krismas tanpa sebarang halangan.
“Sarawak adalah contoh teladan keharmonian."Tidak seperti yang berlaku di Semenanjung Malaysia, di Sarawak kita hidup dalam keamanan dan saling hormat-menghormati."Ini adalah sesuatu yang mesti kita pelihara dan hargai,” kata Lee sambil menyeru hadirin untuk terus memupuk perpaduan.
Di bawah konsep 'Keluarga Sarawak', Lee menekankan bahawa semua rakyat Sarawak boleh hidup dalam harmoni tidak kira kaum, keturunan atau agama.
Turut menyampaikan ucapan adalah Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dato Lukanisman Awang Sauni yang mana menurut beliau, Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) menggariskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menangani peningkatan kos sara hidup yang bertujuan meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah.
Lukanisman turut menyatakan rancangan masa depan, termasuk pendidikan tinggi percuma di universiti dan kolej milik Kerajaan Sarawak bermula pada tahun 2026.
Selain itu, para pelajar Sarawak yang kini sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia juga layak menerima elaun wang saku, ujarnya.
Sebagai Timbalan Menteri Kesihatan, beliau juga komited untuk memperbaiki kemudahan kesihatan di Sarawak yang telah lama ketinggalan berbanding di Semenanjung Malaysia.
Majlis turut dihadiri Datuk Bandar Miri Adam Yii, Timbalan Datuk Bandar Miri Ariffin Mohamad, Presiden Persatuan Melanau Miri Abdullah Jaini, para pemimpin PMM serta ketua-ketua masyarakat yang lain.
Para hadirin disajikan dengan hidangan khas dan persembahan nyanyian.
|