
Jawatankuasa Wabak Demam Denggi mengadakan mesyuarat berkaitan dengan wabak di kawasan ini, baru-baru ini.
SARATOK: Kampung Simpang Empat di Kabong telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak demam denggi yang terbaharu.
Jawatankuasa Wabak Demam Denggi telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan tindakan yang perlu dilakukan bersama pihak berkaitan yang dipengerusikan Pegawai Daerah Kabong Mohd Rashdan di pejabat beliau di sini, semalam.
Mesyuarat turut dihadiri wakil dari Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Betong, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Saratok, Majlis Daerah Saratok (MDS), Balai Polis Kabong serta semua ketua kampung dan penghulu.
Pada mesyuarat tersebut, pengerusi menyarankan agar pihak MDS membantu penduduk kampung menjalankan aktiviti gotong-royong dengan segera.
Pegawai Kesihatan Daerah Dr Abdul Mualim Shah berkata, pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes adalah cara paling berkesan dalam kawalan demam denggi.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Mohamad Buhaiqi Madi pula menyeru penduduk yang mengalami tanda dan gejala demam denggi untuk segera mendapatkan rawatan.
"Semua penduduk diingatkan untuk menjalankan pemeriksaan kendiri di rumah masing-masing untuk memastikan tiada bekas air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
"Sampah hendaklah dibuang di tempat yang betul agar wabak demam denggi dapat dielakkan," katanya.
Beliau juga berharap tiada lagi kes demam denggi di Kabong khususnya Kampung Simpang Empat Kabong selepas 11 Januari ini dan mengingatkan penduduk kampung agar membuka pintu semasa semburan kabus dijalankan untuk membunuh nyamuk aedes dengan lebih berkesan.
|