
Anggota BBP Bintangor melakukan pemantauan banjir di tebing Sungai Rajang.
BINTANGOR: Berikutan cuaca hujan dan pertembungan air pasang penuh beberapa hari lalu, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor terus mengadakan pemantauan rapi terutama di kawasan-kawasan berisiko banjir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Mahmudin Narudin berkata langkah ini sangat penting agar penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir dapat diselamatkan dengan segera sebelum menjadi lebih buruk.
"Kita telah mengarahkan anggota bertugas melakukan pemantauan terhadap kadar kenaikan paras air pada setiap waktu ketika hujan lebat turun dan masa pertembungan air pasang.
"Sehingga kini, keadaan masih selamat dan pertembungan air pasang dengan kadar hujan turun masih berada pada waktu selamat.
"Contoh pemantauan dilakukan kita hingga waktu ini adalah melibatkan masa pada sebelah pagi dan petang terutama pada kompilasi air pasang berlaku dan kadar limpahan air masih berada pada situasi selamat terutama di kawasan agak rendah," katanya di sini hari ini.

Keadaan Sungai Rajang berada pada paras terkawal.
Dalam tinjauan dilakukan semalam, pasukan bomba yang bertugas melakukan pemantauan di tebing Sungai Rajang.
Pada masa sama, Mahmudin turut menasihati penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar berwaspada.
"Langkah ini sangat penting demi keselamatan nyawa dan harta benda mereka.
"Kita harap mereka dapat menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat dan menghubungi bomba dengan segera sekiranya masalah kecemasan berlaku," jelasnya.
https://www.utusanborneo.com.my/2025/01/06/bomba-bintangor-pantau-rapi-kawasan-berisiko-banjir |