Empat kru bot ditahan langgar syarat lesen
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Januari 11, 2025 @ 8:04pm[email protected]
Bot nelayan tempatan yang memuatkan 200 kilogram ikan baja, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan Gertak Sanggul, kerana melanggar syarat lesen. - Foto NSTP/ Ihsan MARITIM MALAYSIA
BAYAN LEPAS: Empat kru termasuk seorang warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Gertak Sanggul, hari ini, kerana melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai.
Malah, warga asing berkenaan juga turut didapati tidak mempunyai permit yang sah.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Razali Kasim, berkata, semua ditahan menaiki bot nelayan tempatan kelas C ketika pihaknya melakukan rondaan rutin sekitar jam 12.03 pagi.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka berusia antara 31 hingga 61 tahun.
"Mereka disyaki melakukan penangkapan di bawah 15.0 batu nautika dari kawasan pantai iaitu tidak mengikut syarat sah lesen.
"Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 8 (b) mengikut Akta Perikanan 1985 manakala kru warga asing itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 mengikut Seksyen 6 (1) (c) kerana berada di Malaysia tanpa pas yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Razali berkata, kesemua kru bersama hasil tangkapan yang dianggar sebanyak 200 kilogram ikan baja diserah kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1348047/empat-kru-bot-ditahan-langgar-syarat-lesen
|