Edited by sfhzuraz at 12-1-2025 01:30 PM
Gagal selenggara kenderaan berat antara punca kemalangan
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 12, 2025 @ 12:30pm [email protected]
Pengarah JPJ Kedah, Stein Van Lutam (dua dari kiri) melihat sebuah tayar yang tercabut nat yang boleh mengundang bahaya tercabut ketika bergerak tengah jalan. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli.
ALOR SETAR: Kegagalan pemilik dan pemandu lori menyelenggara dengan baik kenderaan mereka boleh mengundang berlakunya kemalangan jalan raya yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stein Van Lutam berkata, antara contohnya, walaupun hanya satu nat tayar tertanggal boleh menyebabkan tayar tercabut ketika bergerak di atas jalan.
Beliau berkata, ia boleh mengundang risiko berlakunya kemalangan sekiranya kenderaan lain melanggar tayar terbabit.
"Apabila satu nat tayar tertanggal, ia tidak stabil dan akan bergoyang ketika bergerak di atas jalan.
"Lama kelamaan ia akan longgar dan boleh tercabut pada bila-bila masa ketika bergerak di jalan raya dan sekiranya ada kenderaan di belakang yang tidak sempat mengelak ia boleh menyebabkan berlaku kemalangan," katanya ketika ditemui di pejabat JPJ Kedah di Jalan Suka Menanti, di sini hari ini.
Stein berkata, selain itu apabila nat tayar ini longgar atau tertanggal dan didorong pula dengan kelajuan serta beban muatan yang dibawa kenderaan berat itu juga boleh mendorong kemalangan berlaku.
Beliau berkata, disebabkan itulah pemandu atau pemilik kenderaan berat perlu memastikan nat tayar mereka cukup serta stabil ketika berada di atas jalan raya.
"Selain itu keadaan tayar juga memainkan peranan dalam mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
"Jika penggunaan tayar celup yang tidak mendapat kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian (SIRIM), ia tidak boleh digunakan di atas jalan raya.
"Ini kerana ia boleh mengundang risiko apabila lama-kelamaan akan boleh menyebabkan tayar itu tercabut malah kita boleh tengok adakalanya kita nampak serpihan tayar itu berselerak di di atas jalan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian kemalangan di Melaka pada 23 Disember tahun lalu yang menyebabkan tujuh maut termasuk kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan lori berkenaan tercabut dan berada di bahagian tengah lebuh raya sebelum dilanggar sebuah persiaran yang membawa penumpang sebelum terbabas dan melanggar sebuah treler dan kereta Toyota Estima.
Stein berkata, JPJ boleh mengambil tindakan saman terhadap mana-mana kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 105 MV (C&U) 1959 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atau Kaedah 94 MV (C&U).
"Sepanjang tahun lalu, JPJ Kedah melakukan pemeriksaan terhadap 30,145 kenderaan berat melebihi 7,500 kilogram (kg) dan daripada jumlah itu, sebanyak 4,355 kenderaan terbabit diambil tindakan.
"Bagi kenderaan berat di bawah 7,500kg pula, pemeriksaan dilakukan terhadap 59,233 kenderaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 7,888 kenderaan didapati melakukan kesalahan.
"Antara kesalahan terbabit termasuklah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insuran, muatan berbahaya, lebih muatan, masalah teknikal, Puspakom dan banyak lagi," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1348243/gagal-selenggara-kenderaan-berat-antara-punca-kemalangan
|