Balik Pulau: Bapa kepada enam anak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana memiliki dua senapang tiruan pada Isnin lalu.
Tertuduh Mohd Nasir Othman, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nasir didakwa memiliki dua senapang tertera tulisan 'Combact Machine Cal 7-8MM water bullet' dan 'Property Of US Govt M4AI Carbone Cal 5.56MM' tanpa lesen yang sah.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sungai Ara, Bayan Lepas, dekat sini, jam 9 pagi pada 6 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan penjara sehingga hingga satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya R Lushani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh selain barang kes dilupuskan selepas tamat tempoh rayuan.
Bagaimanapun, peguam Edmund Anthony Hermon dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minima atas alasan tertuduh bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan bulanan RM2,000 selain perlu menyara dua isteri dan enam anak yang masih bersekolah.
"Tertuduh tidak tahu memiliki senapang tiruan itu merupakan satu kesalahan selain senjata itu tidak boleh mendatangkan kecederaan terhadap sesiapa kerana pelurunya berasaskan 'water base'," katanya.
Sementara itu, tertuduh turut memberitahu mahkamah bahawa senapang tiruan terbabit dibeli menerusi aplikasi TikTok untuk bermain dengan anaknya berusia 11 tahun.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,800 terhadap tertuduh dan satu bulan penjara, jika gagal bayar.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan penahanan lelaki berkenaan bersama isteri keduanya di sebuah rumah teres di Bayan Lepas yang turut membawa penemuan senjata tajam termasuk senapang tiruan.