Sungai Petani: Kereta dipandu wanita warga emas yang baru selesai mengisi petrol melanggar Honda Vario sebelum merempuh dinding cermin pasar mini akibat tertekan pedal minyak di sebuah stesen minyak, di sini, semalam.
Bagaimanapun, wanita berusia 83 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku pada 10.03 pagi membabitkan sebuah kereta dan skuter di kawasan parkir sebuah pasar mini, di sini.
Menurutnya, ketika itu wanita itu yang memandu Perodua Myvi baru selesai mengisi petrol di stesen minyak terbabit, manakala skuter pula ditinggalkan tanpa penunggang.
"Hasil siasatan awal mendapati sebaik warga emas itu hendak memulakan perjalanan, dia tertekan pedal minyak secara tidak sengaja sehingga terlanggar bahagian belakang skuter yang diletakkan di kawasan parkir.
"Berikutan itu, kereta dan skuter terus meluncur ke hadapan dan memecahkan dinding cermin pasar mini berkenaan, namun pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kemalangan iru dikesan tular di Facebook dan siasatan dibuat mengikut Kaedah 10 LN 166/59.