Baling: Penduduk daerah ini terus diselubungi misteri selepas ada yang mendakwa melihat kelibat dua lelaki bertopeng masuk ke kawasan kampung serta cuba
mencetuskan kebakaran.
Malah ada penduduk yang mendakwa motosikal anak mereka hampir dibakar apabila ia disimbah dengan minyak tanah dalam kejadian 5 Januari lalu di Kampung Tiak, Kupang, di sini.
Penduduk, Amir Hamzah, 46, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 malam ketika dua anak lelakinya baru pulang dari melihat kemalangan di Kupang.
"Apabila mereka pulang dan masuk ke dalam rumah, anak saya, Muhammad Izzat, 19, mahu keluar semula untuk mengambil barang yang tertinggal di raga motosikal manakala adiknya, Muhammad Akif, 17, terus masuk ke dalam bilik.
"Ketika mahu keluar, dia terdengar bunyi botol terjatuh lalu membuka tingkap dan melihat kelibat lelaki berlari keluar dari kawasan rumahnya menuju ke jalan, anak saya panik dan memanggil adik serta jiran untuk kejar namun tak sempat," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan hari ini.
Amir berkata, anaknya kemudian memeriksa motosikal yang berada di depan rumah dan mendapati ia sudah disimbah minyak tanah.
Katanya, anaknya bernasib baik kerana botol itu terjatuh menyebabkan cubaan lelaki terbabit untuk membakar motosikal gagal.
"Sekiranya motosikal anak saya terbakar, mungkin rumah saya juga akan terbakar seperti kejadian di kampung lain, saya bersyukur kerana semuanya selamat.
"Sekarang kami terpaksa simpan motosikal di dalam rumah kerana bimbang kejadian yang sama berulang, malah penduduk di kampung ini turut melakukan rondaan setiap malam sejak awal tahun ini," katanya yang berada di Pulau Pinang ketika kejadian.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung berkenaan, Zabadil BahriIsmail, 66, berkata, selepas kejadian di rumah Amir, penduduk mendakwa ternampak lagi kelibat lelaki yang sama di kampung itu pada malam berikutnya.
"Kalau ikut andaian kami, pelaku ini seperti orang tempatan kerana tahu selok-belok jalan di sini, walaupun kami melakukan rondaan dan berkawal di empat lokasi jalan utama masuk ke kampung tapi mereka masih boleh lolos.
"Kami sebenarnya sudah letih berjaga malam, tapi untuk keselamatan penduduk kami teruskan melakukan rondaan, hairan macam mana mereka boleh lolos, ada jiran saya nampak kelibat mereka tapi apabila kejar, mereka hilang," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Charuk Kapas, Mohd Desa Jusoh, 61, berkata, penduduk mendakwa pernah terserempak dengan dua lelaki bertopeng di tepi Jalan Parit Panjang - Kuala Pegang di Kampung Lubuk Kabu, malam kelmarin, dalam keadaan mencurigakan.
"Apabila penduduk nampak kelibat dua lelaki bertopeng tidak bertopi keledar kira-kira jam 9 malam di atas bukit, mereka cuba kejar tetapi tak dapat.
"Mereka menaiki motosikal, memang susah nak kejar mereka selain penduduk bimbang mereka mempunyai senjata. Saya pun tak tahu adakah kejadian kebakaran penduduk kampung ini malam tadi ada kaitan dengan unsur khianat seperti yang berlaku di kampung lain," katanya.
Malam tadi, sebuah rumah lagi terbakar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang di Kampung Charuk Kapas kira-kira jam 9.15 malam.
Bagaimanapun, kejadian itu masih belum dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat ataupun misteri sembilan kebakaran yang berlaku berturut-turut di Kupang sejak Disember tahun lalu.