Selgate, MTT bakal bina hospital pakar swasta di Balik Pulau
Oleh Bernama - Januari 13, 2025 @ 7:47pm
JAMBATAN Pulau Pinang. FOTO Danial Saad.
GEORGE TOWN: Selgate Healthcare Sdn Bhd, anak syarikat Selgate Corp Sdn Bhd (Selgate Corp), akan bekerjasama dengan MTT Properties and Development Sdn Bhd (MTT Properties) untuk membina sebuah hospital pakar swasta di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate Corp, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth, berkata Hospital Pakar Selgate Pulau Pinang dijangka siap pada 2028. Hospital ini akan menyediakan 172 katil dan menawarkan 31 kepakaran perubatan.
"Kos pembinaan hospital ini dianggarkan berjumlah RM130 juta. Lokasinya yang strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang akan memudahkan akses bagi pesakit antarabangsa," katanya.
"Selgate berhasrat untuk menjadi pengendali penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia. Kami komited untuk menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti yang mampu milik dan memenuhi keperluan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan," tambahnya.
"Hospital Pakar Selgate Pulau Pinang adalah tambahan penting kepada visi kami untuk menubuhkan lapan hospital di seluruh negara menjelang 2030. Dua hospital pertama telah dibuka di Rawang dan Sepang (Selangor) pada 2023," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pengerusi Kumpulan MTT Properties, Datuk Seri Kenny Ong Kean Lee, hari ini.
Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen.
Noor Hisham berkata kerjasama ini menekankan komitmen bersama untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi. MTT Properties akan mengetuai pembangunan dan penyewaan kemudahan, manakala Selgate Healthcare akan menjadi pengendali hospital.
"Projek ini mengukuhkan komitmen Selgate untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan dan menyumbang kepada status Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan kesihatan," katanya.
Sementara itu, Ong berkata MTT Properties telah memperuntukkan 2.02 hektar tanah untuk projek ini di Botanica.CT.
"Buat masa ini, Balik Pulau hanya mempunyai Hospital Tentera untuk berkhidmat kepada penduduk. Hospital pakar swasta ini bukan sahaja akan menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti kepada penduduk bandar ini, malah kepada komuniti sekitarnya," katanya.
Hospital Pakar Selgate Pulau Pinang juga akan melengkapkan kemudahan penjagaan warga emas, Eden@Botanica CT, resort kehidupan warga emas bersepadu pertama di Pulau Pinang.
"Eden@Botanica CT direka untuk menyediakan persekitaran yang menyokong warga emas, menggabungkan ruang kediaman yang selesa dengan perkhidmatan penjagaan peribadi," katanya.
"Kerjasama dengan Selgate Healthcare menandakan satu langkah penting ke arah menjadi sebuah bandar yang boleh berdiri sendiri," tambahnya.
MTT Properties adalah pemaju utama bandar Botanica.CT. -- BERNAMA
https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2025/01/1348835/selgate-mtt-bakal-bina-hospital-pakar-swasta-di-balik-pulau
|