Rupanya tedung mendengus bawah pangkin
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 14, 2025 @ 8:12am [email protected]
Bomba menangkap ular tedung selar yang ditemui di bawah pangkin di sebuah rumah penduduk di Kampung Sungai Pau, Sik. - Foto BOMBA
SIK: Bunyi dengusan ular tedung selar bawah pangkin hadapan sebuah rumah di Kampung Sungai Pau, mengejutkan seorang lelaki yang berehat di situ malam tadi.
Lelaki 45 tahun itu dikatakan sedang duduk atas pangkin seorang diri sebelum menyedari kehadiran King Cobra sepanjang empat meter.
Dia kemudian menghubungi Bomba sebaik melihat ular itu, yang paling besar pernah dilihatnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata pihaknya menerima panggilan jam 10.15 malam.
"Operasi menangkap tedung selar itu dibuat dengan berhati-hati kerana ia bertindak agresif dan cuba menyerang," katanya sambil menambah ular itu dapat dijerut dalam tempoh 10 minit.
Menurutnya, dalam tempoh bulan ini pihaknya sudah merekodkan 10 kes tangkapan ular pelbagai spesis.
"Kehadiran ular yang semakin meningkat ini disebabkan faktor cuaca tidak menentu menyebabkan ular mahu pun reptilia berbisa berbahaya itu memasuki rumah penduduk untuk berteduh," katanya.
Orang ramai katanya, perlu berwaspada dengan potensi bahaya terutama ketika menyarung kasut dan lubang terdedah yang mungkin menjadi tempat ular berlindung.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1348921/rupanya-tedung-mendengus-bawah-pangkin
|