Penyokong Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol yang dipecat menyertai perhimpunan di luar Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, Korea Selatan, 18 Januari 2025. - Foto REUTERS
SEOUL: Mahkamah di Korea Selatan hari ini melanjutkan tempoh penahanan Presiden Yoon Suk Yeol selama sehingga 20 hari, sehingga mencetuskan protes ganas ratusan penyokong yang berang.
Mereka bertindak menyerbu bangunan mahkamah, memecahkan tingkap dan menceroboh masuk.
Rabu lalu, Suk Yeol menjadi Presiden Korea Selatan pertama ditahan ketika masih berkuasa, berdepan tuduhan pemberontakan berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera mengejut pada 3 Disember, menyebabkan negara itu terjerumus ke dalam kekacauan politik.
Tidak lama selepas mahkamah meluluskan permohonan penyiasat Suk Yeol bagi penahanan lanjut, kira-kira jam 3 pagi tadi rakaman televisyen menunjukkan penyokongnya membolosi kawalan polis bagi memasuki mahkamah hingga ada yang memusnahkan perabot dan bertindak melepaskan alat pemadam api ke arah pegawai yang cuba menahan mereka.
Menurut laporan stesen penyiar YTN yang memetik polis, pihak berkuasa itu berjaya menangkap sekitar 40 penunjuk perasaan dan memulihkan ketenteraman beberapa jam selepas itu.
Penyiasat perlu memohon penahanan lebih lama atau membebaskan Presiden dalam tempoh 48 jam, dengan pasukan itu pada Jumaat membuat permohonan kepada mahkamah Seoul untuk menahan Suk Yeol lebih lama selepas beliau enggan disoal siasat.
Selepas sesi pendengaran selama lima jam semalam yang dihadiri Suk Yeol, Mahkamah Daerah Barat Seoul memilih untuk meluluskan permohonan penyiasat atas 'kebimbangan suspek mungkin melupuskan bukti', menurut mahkamah dalam satu kenyataan.
Di bawah waran tangkapan baharu, Suk Yeol boleh ditahan sehingga 20 hari.
Menurut peraturan Peraturan Korea Selatan seorang suspek yang ditahan di bawah waran dikehendaki menjalani pemeriksaan fizikal, diambil gambar mugshot dan berpakaian penjara.
Pemimpin itu dijangka akan ditempatkan di sel bersendirian di Pusat Tahanan Seoul, lokasi terkini beliau ditahan.
Dalam pada itu, Pejabat Penyiasatan Rasuah (CIO dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menyiasat Suk Yeol berdasarkan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.
Salah seorang peguam Presiden, Seok Dong-hyeon, berkata keputusan mahkamah itu 'sukar difahami' tetapi memohon supaya ketenteraman dijaga.
"Ekspresi kemarahan seperti itu boleh difahami, tetapi jika ia melampaui batas dan terus menjadi ganas, mereka boleh terjebak dalam serangan disasarkan atau serangan balas oleh pasukan keselamatan berhaluan kiri. Kita perlu kekal tenang," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Setakat ini, Suk Yeol menafikan tuduhan bahawa beliau merancang pemberontakan, dan telah menghalang usaha CIO sebelum ini rentetan enggan hadir sesi soal siasat.
Bagaimanapun tidak jelas sama ada Suk Yeol akan mengubah pendiriannya di bawah penahanan yang dilanjutkan.
Pemberontakan, dakwaan jenayah yang mungkin dikenakan terhadap Suk Yeol, adalah antara beberapa jenayah yang tidak diberikan kekebalan kepada presiden Korea Selatan.
Pada 14 Disember lalu, ahli-ahli Parlimen memecat Suk Yeol dan menggantung kuasa Presidennya.
Siasatan jenayah berasingan yang mencetuskan kekacauan hari ini tercetus apabila Mahkamah Perlembagaan sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengekalkan pemecatan itu dan menyingkirkan beliau secara tetap atau mengembalikan kuasanya.
|